Rantau Asia jadi lubuk methamphetamine

Rantau Asia jadi lubuk methamphetamine

POLIS menunjukkan rampasan dadah jenis syabu dalam satu sidang akhbar di wilayah Narathiwat, selatan Thailand pada Julai 2020. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lebih satu bilion pil dadah jenis methamphetamine dirampas di Asia Timur dan Tenggara pada tahun lalu.

Jumlah pil methamphetamine yang dirampas di kedua-dua rantau itu mencatatkan rekod baharu malah buat pertama kalinya melebihi satu bilion pada 2021.

Rampasan itu juga secara tidak langsung menggambarkan skala pengeluaran dan penyeludupan dadah haram di rantau berkenaan serta cabaran untuk memeranginya.

Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menerusi satu laporan menyatakan rampasan membabitkan 1.008 bilion pil dadah itu merupakan sebahagian daripada hampir 172 tan methamphetamine dalam semua bentuk dirampas di seluruh rantau.

Malah, jelas laporan itu, rampasan dadah tersebut adalah kira-kira tujuh kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah dirampas sedekad lalu.

Dadah tersebut sebahagian besar digunakan di Asia Tenggara namun turut dieksport ke New Zealand, Australia, Hong Kong, Korea dan Jepun di Asia Timur serta semakin banyak ke Asia Selatan.

“Pengeluaran dan penyeludupan methamphetamine meningkat sekali lagi ketika bekalan menjadi sangat tertumpu di Mekong (wilayah Sungai) dan khususnya di Thailand, Laos dan Myanmar,” kata wakil agensi PBB untuk serantau Asia Tenggara, Jeremy Douglas.

Menurut laporan itu, pengeluaran yang semakin meningkat menjadikan harga dadah lebih murah dan mudah diakses sekaligus menyebabkan risiko besar kepada orang ramai dan komuniti mereka.

Methamphetamine mudah dihasilkan dan menggantikan opium serta bahan terbitan heroin menjadi dadah haram yang dominan di Asia Tenggara untuk kegunaan dan eksport.

Kawasan Segitiga Emas membabitkan Thailand, Myanmar dan Laos sudah lama terkenal sebagai tempat pengeluaran utama bagi opium dan menempatkan banyak makmal yang memprosesnya kepada heroin.

Ketidakstabilan politik selama beberapa dekad menyebabkan kawalan keselamatan longgar di sebahagian besar kawasan sempadan Myanmar sehingga dieksploitasi oleh sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah.

Mengambil kira masalah tadbir urus terhad dan kurangnya perhatian terhadap isu berkenaan, agensi PBB berkata, sindiket jenayah terancang mempunyai semua bahan diperlukan untuk terus mengembangkan perniagaan mereka.

“Mereka mengeluarkan lebih banyak dadah dan menjualnya kepada
populasi muda yang semakin meningkat dengan kuasa berbelanja yang tinggi,” jelasnya.

Landskap politik juga membantu sindiket penyeludupan dadah.

Pengeluaran dadah di Myanmar sering dikaitkan dengan kumpulan etnik minoriti bersenjata yang kadangkala bertempur dengan kerajaan dan sesama mereka.

“Setiap kumpulan menafikan penglibatan dalam pengeluaran dan penyeludupan dadah serta menuduh pihak lain.

“Namun, sindiket dadah boleh dikatakan menjadi sebahagian besar ekonomi di kebanyakan negeri Shan dan kawasan sempadan Myanmar.

“Malah, terdapat banyak kumpulan intel yang menghubungkan makmal dan penghantaran,” katanya.

Laporan itu juga menyifatkan Laos sebagai antara negara paling terjejas akibat methamphetamine yang diedarkan dari Myanmar.

Salah satu rampasan dadah terbesar di Asia dilakukan di Laos pada Oktober tahun lalu apabila polis merampas lebih 55.6 juta pil methamphetamine dalam satu serbuan.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 65 paket kristal methamphetamine yang juga dikenali sebagai ais.

Sementara itu, agensi PBB memaklumkan pihaknya bimbang sindiket jenayah menyasarkan Kemboja sebagai tapak pengeluaran dadah.

Jelas laporan itu, sebuah makmal rahsia yang dimusnahkan pada tahun lalu merupakan kemudahan berskala industri yang ditubuhkan untuk menghasilkan ketamin dan beberapa dadah lain.

Banyak negara berusaha menyekat pengeluaran methamphetamine dengan menghalang bekalan bahan kimia prekursor, biasanya ephedrine dan pseudoephedrine yang digunakan dalam dekongestan.

Namun, agensi PBB menegaskan beberapa pengeluar methamphetamine sudah mengetahui untuk menghasilkan prekursor daripada bahan tidak terkawal yang boleh dijual secara bebas dan sah. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya