WASHINGTON: Puluhan ribu penunjuk perasaan berhimpun di seluruh Amerika Syarikat bagi menggesa undang-undang pemilikan senjata api lebih ketat berikutan dua insiden tembakan besar-besaran.
Lapor BBC, Peserta protes yang mengambil bahagian dalam ratusan perarakan yang dianjurkan membawa slogan seperti ‘Saya mahu kebebasan daripada terkena tembakan’.
Presiden AS, Joe Biden menyokong penuh aksi tunjuk perasaan itu dan menyeru Kongres ‘meluluskan undang-undang keselamatan senjata api’.
Walaupun asakan demi asakan dilakukan, perubahan undang-undang yang diharapkan itu berdepan risiko dibantah oleh perwakilan dari Republikan.
Bulan lalu, seramai 21 orang maut termasuk 19 daripadanya adalah murid Sekolah Rendah Robb di Texas.
Tempat awam sudah tidak lagi selamat dikunjungi kerana enam insiden dalam tempoh dua bulan (Mei-Jun) berlaku di pasar raya di Buffalo, gereja di Los Angeles, sekolah di Texas, hospital di Oklahoma, gereja di Iowa dan kawasan tumpuan di Philadelphia.
Enam insiden itu sahaja sudah merekodkan sebanyak 42 kes kematian.-BBC










