SAO PAOLO: Legenda bola sepak dunia, Pele menggesa Presiden Russia, Vladimir Putin menamatkan operasi ketenteraan di Ukraine.
Gesaan itu dibuat menerusi surat terbuka kepada Putin yang dimuat naik di Instagram sebelum perlawanan pasukan bola sepak Ukraine menentang Scotland dalam separuh akhir play-off Piala Dunia.
“Saya mahu menggunakan perlawanan ini sebagai pelung untuk membuat permohonan. Tolong hentikan pencerobohan.
“Tiada justifikasi untuk keganasan yang berterusan ini,” katanya.
Bintang bola sepak itu menyifatkan konflik berlaku ketika ini di Ukraine adalah sangat kejam.
Malah, beliau berpandangan perang itu sendiri tidak wajar timbul pada zaman ini.
“Ia tidak membawa sebarang manfaat selain kesakitan, ketakutan dan keperitan.
“Peperangan hanya wujud untuk memisahkan negara dan tiada ideologi yang membenarkan serangan menjejaskan impian kanak-kanak dan keluarga serta membunuh ramai insan yang tidak bersalah,” katanya. – AGENSI