Lelaki diserang kanggaru ganas - Utusan Malaysia

Lelaki diserang kanggaru ganas

TANGKAP layar rakaman menunjukkan Cliff Des diserang oleh kanggaru ganas. - INSTAGRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila diserang oleh seekor kanggaru ganas ketika cuba menghalau haiwan itu yang berada di belakang rumahnya.

Lapor Daily Mail, Cliff Des dari Ballina di New South Wales tampil menceritakan pengalaman mengerikan apabila dia merempuh haiwan jenis marsupial besar itu sehingga jatuh ke tanah, ketika ia mencakar mukanya.

Des dalam rancangan Today menyifatkan detik cemas yang dilalui kira-kira lima minit itu amat menakutkan dan dia rasa bertuah kerana masih hidup selepas diserang haiwan agresif itu.

Katanya, ketika kejadian, dia menghalau kanggaru sebesar enam kaki itu selepas haiwan itu cuba menyerang anjing peliharaannya.  

“Saya menghalau kanggaru itu kerana mahu melindungi anjing peliharaan daripada haiwan tersebut.

“Kanggaru itu tidak lari, sebaliknya bertindak agresif dengan mengejar dan menyerang saya,” katanya.

Rakaman video insiden yang tular dalam media sosial menunjukkan Des dikejar oleh kanggaru ganas sebelum tersadung dan jatuh ke tanah.

Marsupial besar itu menendang dan memijak lelaki itu yang kemudian berjaya bangun dan memukul kanggaru tersebut menggunakan sebatang kayu bagi mempertahankan diri.  

“Apabila terjatuh, saya bernasib baik menemukan sebatang kayu sebelah saya. Namun, selepas tiga pukulan kayu itu pun sudah patah.

“Saya terus bangun dan lari namun kanggaru itu masih mengejar saya. Akhirnya selepas beberapa pukulan, haiwan itu melarikan diri ke semak berhampiran,” katanya.

Des mengalami luka dan lebam di beberapa bahagian badannya akibat kejadian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN