LONDON: Pakar melahirkan kebimbangan retorik anti-Islam makin menjadi-jadi selepas kejayaan besar parti sayap kanan mengurangkan majoriti kerjaan dalam Dewan Negara, semasa pilihan raya Ahad lalu.
Ketua Kajian Bahasa dan Budaya Moden Perancis dan Francophone di Universiti Nottingham, Prof. Madya Paul Smith berpandangan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memerlukan 40 kerusi ganjil bagi mencapai majoriti yang diperlukan.
“Saya fikir kemungkinan besar Macron tidak akan mencari sokongan di sayap sebelah kiri.
“Beliau bertemu pemimpin parti bagi membincangkan keutamaan mereka dan parti yang paling rapat dengan Macron adalah Kesatuan Demokrat dan Bebas (UDI) serta sebahagian daripada Les Republicains.
“Kempen pilihan raya mereka tertumpu kepada kos sara hidup tetapi diselitkan dengan politik identiti dan kurangnya kebimbangan dari segi bersekutu dengan sayap kanan,” katanya kepada Arab News.
Parti gabungan Macron iaitu Ensemble memperoleh 245 kerusi iaitu kurang daripada 289 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti Parlimen yang mempunyai seramai 577 ahli.
Sebelum ini, Macron mempunyai 350 kerusi sekali gus mempunyai kedudukan selesa di dalam Dewan Negara.
Gabungan parti berhaluan kiri yang diketuai Jean-Luc Melenchon mendapat 131 kerusi.
Lonjakan dari tujuh ke 89 kerusi yang diraih parti Perhimpunan Nasional sayap kanan, Marine Le Pen menarik perhatian ramai.
PILIHAN SAYAP KANAN
Turut senada dengan Smith, Pensyarah di Sekolah Pengajian Kawasan, Sejarah, Politik dan Kesusasteraan Universiti Portsmouth, Emmanuel Godin.
Godin melihat Macron lebih cenderung bekerjasama dengan sayap kanan daripada kiri.
Beliau percaya gaya politik yang menguasai Perancis sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan normalisasi sentimen anti-Islam akan dikekalkan.
“Islamofobia yang dibaluti sekularisme akan kelihatan.
“Baru-baru ini, kita melihat tindak balas terhadap keputusan di Grenoble bagi membenarkan penggunaan burkini di dalam kolam renang awam.
“Rakyat patut dibenarkan berenang mengikut cara yang mereka suka, tetapi retorik ‘sekularisme’ mengatasi tindakan perundangan sebenar yang diambil serta tidak bercakap dengan realiti,” katanya.
Menurut Godin, realitinya adalah jika sekularisme diterima baik, ia mendapat sokongan kuat daripada umat Islam kerana ini bermakna mereka boleh menjalani kehidupan tanpa diganggu.
CENDERUNG SEKULARISME
Tinjauan oleh Institut Tinjauan Pendapat Perancis selari dengan analisis Smith, dengan 44 peratus penduduk Islam cenderung terhadap sekularisme, berbanding 43 peratus memilih tanpa agama dan 42 peratus Katolik.
Pilihan raya menyaksikan peratusan keluar pengundi Islam adalah kunci kejayaan calon berhaluan kiri.
“Sebanyak 69 peratus orang Islam mengungi Melenchon semasa pusingan pertama pilihan raya dan sebab utama mereka adalah sosioekonomi kerana majoriti mereka adalah golongan pekerja,” katanya.
Ditanya sama ada ini bermakna Macron kehilangan sokongan komuniti Islam Perancis, Smith mempersoalkan sama ada presiden itu pernah mendapat sokongan mereka sebelum ini.
Katanya, sebahagian daripada masalah yang dihadapi Macron ketika berurusan dengan penduduk Islam Perancis kerana sering menganggap mereka sebagai saki baki sejarah kolonialisme Perancis di Afrika Utara.
“Saya rasa Macron tidak akan memberi perhatian kepada sokongan meluas Melenchon daripada orang Islam,” kata Smith.