Lapid bakal ganti Bennett sebagai PM baharu Israel - Utusan Malaysia

Lapid bakal ganti Bennett sebagai PM baharu Israel

YAIR LAPID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett, hari ini berkata gabungan pentadbirannya akan membubarkan Parlimen minggu depan.

Pengumuman mengejutkan itu akan memberi kuasa kepada Menteri Luar, Yair Lapid, dalam masa beberapa hari lagi dan memaksa satu pilihan raya baharu diadakan.

Bennett dan Lapid menjalin pakatan yang berbeza dari segi ideologi setahun yang lalu, membabitkan gabungan lapan parti yang bersatu dengan matlamat menamatkan pemerintahan bekas perdana menteri, Benjamin Netanyahu.

Gabungan parti yang menyokong perang, sayap kiri dan buat pertama kali dalam sejarah Israel, Islam Arab, membawa Israel keluar daripada era kekacauan politik buat sementara waktu, yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas beberapa siri pembelotan yang meletakkan gabungan itu di ambang kehancuran, Bennett berkata beliau akan menyokong rang undang-undang (RUU) untuk membubarkan parlimen minggu depan.

Ini akan membawa kepada pilihan raya kelima dalam tempoh kurang empat tahun tanpa sebarang jaminan pentadbiran baharu yang berdaya maju.

Bennett berkata, Lapid, dengan pegangan politik haluan sederhana, akan mengambil alih kuasa sebagai perdana menteri kerajaan sementara, sejajar dengan perjanjian perkongsian kuasa tahun lalu.

“Kami membuat keputusan yang tepat untuk Israel,” katanya.

Tindakan itu bermakna, Lapid kini bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, yang dijangka melawat Israel bulan depan.

Lapid mengucapkan terima kasih kepada Bennett kerana ‘mengutamakan negara berbanding kepentingan peribadinya’, namun berkata, ketidakupayaan gabungan itu untuk bertahan menunjukkan Israel ‘memerlukan perubahan serius’.

Dua penggubal undang-undang Arab dalam gabungan terbabit pada awal bulan ini enggan bersetuju bagi memperbaharui langkah bagi memastikan penduduk Yahudi di Tebing Barat berada di bawah undang-undang Israel.

Ini menyebabkan gabungan yang hanya mengawal 60 daripada 120 kerusi Parlimen Israel itu kehilangan sokongan majoriti.

Bennett, penyokong tegar penempatan di Tebing Barat yang dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa, berkata beliau tidak boleh membenarkan langkah itu gagal.

Undang-undang yang tamat tempoh itu akan mewujudkan ‘risiko keselamatan’ dan ‘kekacauan perlembagaan’.

“Saya tidak boleh membenarkannya,” katanya.

Tindakan membubarkan kerajaan sebelum langkah itu tamat bermakna ia diperbaharui secara automatik sehingga kerajaan baharu dibentuk.

Akhbar Haaretz Israel melaporkan, pilihan raya baharu akan diadakan pada 25 Oktober ini. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN