‘Kehidupan saya sudah kembali kepada asal’

‘Kehidupan saya sudah kembali kepada asal’

JOHNNY Depp dan Amber Heard. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RICHMOND: Pelakon popular Hollywood, Johnny Depp bersyukur akhirnya kehidupan asalnya sudah kembali dan tidak perlu lagi hidup dalam kemurungan.

Aktor itu meluahkan rasa kesyukuran itu selepas Mahkamah Circuit di Daerah Fairfax memutuskan juri berpihak kepada Depp dalam kes saman fitnah yang difailkan terhadap bekas isterinya, Amber Heard.

Memetik laporan Daily Mail, Depp dalam satu kenyataan selepas keputusan mahkamah itu, meraikan kejayaan memenangi kes saman tersebut.   

“Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, juga mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya, berubah sama sekali.

“Enam tahun kemudian, juri beri kehidupan saya semula. Saya berasa sangat rendah diri,” katanya.

Terdahulu, tujuh juri sebulat suara memutuskan pelakon filem Pirates of the Caribbean itu dibayar ganti rugi sebanyak AS$15 juta (RM65.8 juta).

Heard yang juga aktres filem Aquaman, diperintahkan membayar ganti rugi pampasan sebanyak AS$10 juta (RM43.9 juta) berserta ganti rugi punitif AS$5 juta (RM21.9 juta) kepada bekas suaminya.

Selain itu, barisan juri turut menganugerahkan Heard ganti rugi sebanyak AS$2 juta (RM8.78 juta) bagi satu daripada tiga tuntutan saman balas terhadap Depp.

Barisan juri mencapai keputusan itu selepas perbincangan selama 12 jam, dalam perbicaraan enam minggu yang menampilkan keterangan daripada 62 saksi termasuk rakan pasangan, pakar psikiatri, pakar bedah dan pelakon itu sendiri.

Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM219 juta).

Heard membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM439 juta) dan mendakwa dirinya mengalami ‘penderaan serta keganasan fizikal’ daripada Depp.

Depp menafikan pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard sebaliknya mendakwa bekas isterinya sering bertindak ganas.

Sementara itu, Depp menyifatkan Heard umpama mimpi buruk dalam kehidupannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN