Kadar inflasi teras Singapura melonjak paras tertinggi - Utusan Malaysia

Kadar inflasi teras Singapura melonjak paras tertinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat pada bulan lalu kepada paras tertinggi sejak 2008, dipacu oleh kenaikan harga makanan dan bekalan.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet, berada pada 3.6 peratus dari tahun ke tahun pada Mei, naik daripada paras tertinggi 10 tahun sebelumnya sebanyak 3.3 peratus pada April, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini (23 Jun).

Lapor Berita Mediacorp, Indeks Harga Pengguna (CPI) utama, atau inflasi keseluruhan, mencecah 5.6 peratus dari tahun ke tahun pada Mei, menjangkaui 5.4 peratus yang dilaporkan pada April dan Mac.

INFLASI MENINGKAT PANTAS BAGI SEMUA SEKTOR

Inflasi makanan meningkat dari 4.5 peratus pada bulan Mei berbanding 4.1 peratus pada April, manakala harga khidmat makanan melonjak lebih kukuh, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataan media bersama.

Inflasi runcit dan barangan lain juga meningkat, mencatat 1.8 peratus pada Mei berbanding 1.6 peratus pada April, manakala harga pakaian dan kasut, barangan peribadi dan produk penjagaan peribadi terus meningkat.

Inflasi bagi tenaga elektrik dan gas meningkat kepada 19.9 peratus pada Mei berbanding 19.7 peratus pada April manakala harga purata pelan elektrik yang ditawarkan oleh syarikat Pasaran Terbuka Elektrik (OEM) meningkat pada rentak yang lebih pantas, menurut MAS dan MTI.

Inflasi perkhidmatan juga naik sedikit kepada 2.6 peratus daripada 2.5 peratus pada April disebabkan rentak pantas kenaikan dalam kos perbelanjaan percutian dan khidmat teksi serta kereta sewa persendirian.

Inflasi penginapan naik dari 0.1 peratus kepada 4 peratus pada Mei disebabkan kenaikan lebih tinggi dalam harga sewa rumah. Inflasi pengangkutan persendirian meningkat kepada 18.5 peratus daripada 18.3 peratus pada April, dengan harga petrol meningkat di tengah-tengah harga minyak global yang lebih tinggi.

MAS dan MTI mengumumkan bahawa tekanan inflasi luaran terus hebat di tengah-tengah kenaikan harga komoditi sejagat serta masalah rantaian bekalan yang berlarutan akibat konflik Rusia-Ukraine dan situasi Covid-19 serantau.

Dari sudut domestik pula, pasaran buruh dijangka “kekal sengit dan akan menyokong rentak kukuh kenaikan gaji sepanjang tahun ini”.

Inflasi teras diunjurkan meningkat lagi pada bulan-bulan mendatang, menurut MAS dan MTI.

Bagaimanapun, ia dijangka sederhana menjelang hujung tahun ini, sedang “beberapa tekanan inflasi luaran semakin mereda”.

Sungguhpun demikian, kedua-dua pihak memberi amaran bahawa risikonya tetap wujud, termasuk kejutan geopolitik dan yang berkaitan dengan pandemik.

Bagi keseluruhan tahun ini, inflasi utama diunjurkan antara 4.5 peratus dengan 5.5 peratus, manakala inflasi teras dijangka mencecah antara 2.5 peratus dengan 3.5 peratus.

BANTUAN YANG AKAN DIBERIKAN

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa pakej sokongan S$1.5 juta (RM4.8 juta) akan diberikan untuk menyediakan bantuan segera kepada golongan berpendapatan rendah dan lebih memerlukan untuk berdepan kenaikan inflasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya