Johnson berdepan undi tidak percaya  - Utusan Malaysia

Johnson berdepan undi tidak percaya 

PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson (tiga dari kanan) mendengar respon daripada ketua pembangkang, Keir Starmer berhubung laporan Sue Grey di Parlimen di London. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Boris Johnson bakal berdepan usul undi tidak percaya terhadapnya yang dilihat mampu menggoyahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Britain.  

Situasi itu dijangka berlaku ketika pemimpin tertinggi itu terus mempertahankan pendiriannya mengenai dakwaan melanggar kod etika kementerian di negara tersebut.

Johnson menafikan melanggar kod etika kementerian kerajaan United Kingdom (UK) ketika beliau cuba mengelak bantahan ahli-ahli Parti Konservatif pimpinannya yang semakin memuncak berhubung skandal partygate.     

Bekas pemimpin Konservatif, William Hague berkata, Johnson bakal menghadapi usul undi tidak percaya dalam kalangan ahli Parlimen dari partinya sendiri secepat minggu depan.

Ia susulan banyak parti melanggar perintah berkurung diadakan di Downing Street.

Johnson menjadi perdana menteri pertama di UK yang didapati melanggar undang-undang semasa memegang jawatan.

Sebelum ini, Johnson dikenakan denda kerana menghadiri parti hari jadi pada Jun 2020 ketika perintah berkurung Covid-19 dilaksanakan di seluruh negara.

Puluhan ahli Parlimen Konservatif kini secara terbuka mengkritik pemimpin itu berhubung penganjuran parti dibawah pengawasannya apabila kerajaan mengarahkan rakyat untuk mematuhi arahan perintah berkurung Covid-19.

Sekiranya 54 daripada mereka menyerahkan surat ketidakpercayaan terhadap Johnson kepada jawatankuasa backbencher ahli Parlimen Konservatif, maka ia akan mencetuskan undi daripada kesemua 359 ahli politik Konservatif sama ada beliau perlu terus memegang jawatannya.

Ketika ini, hampir 30 ahli Parlimen dilaporkan sudah menyerahkan surat demikian namun proses itu diselubungi dengan kerahsiaan dan jumlah sebenar mustahil untuk diketahui.

Parlimen tidak bersidang pada minggu ini dan Britain akan menyambut ulang tahun pemerintahan Ratu Elizabeth II iaitu Jubli Platinum selama empat hari bermula hari ini. 

Justeru, sebarang pengumuman mengenai kemungkinan usul itu akan dilakukan seawal minggu depan.

Antara pemimpin kanan parti Konservatif yang menyuarakan keraguan terhadap Johnson adalah bekas peguam negara, Jeremy Wright dan bekas menteri Kabinet, Andrea Leadsom.

Isnin lalu, Wright menggesa Johnson meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, Hague menyifatkan campur tangan Leadsom seolah-olah sudah memulakan proses usul undi tidak percaya secara perlahan. 

“Ia merupakan satu lagi petunjuk Parti Konservatif bergerak lebih pantas ke arah proses undi itu,” katanya dalam temubual dengan Times Radio.

Sokongan bagi Johnson dalam kalangan ahli Parti Konservatif semakin menurun susulan satu siasatan dalaman diadakan baru-baru ini.

Siasatan dilakukan oleh penjawat awam kanan, Sue Grey mendapati pemimpin itu membenarkan budaya parti yang berlangsung sehingga lewat malam, sehingga berlakunya insiden pergaduhan sesama kakitangan.

* ENGGAN LETAK JAWATAN 

Meskipun sudah memohon maaf, Johnson berulang kali menyatakan enggan meletakkan jawatan selepas didesak oleh ahli-ahli Parti Konservatif dan Parti Buruh.

Malah, pemimpin itu terus mempertahankan pendiriannya dalam satu surat kepada penasihatnya berkaitan hal kementerian, Christopher Geidt.

Geidt mengeluarkan laporan yang menegaskan Johnson tampil menjelaskan tindakannya melanggar kod etika kementerian memandangkan pemimpin itu didenda oleh polis.

Dibawah pemerintahan kerajaan terdahulu, pelanggaran kod etika kementerian dianggap sebagai satu kesalahan dan perlu meletak jawatan.

“Saya tidak melanggar kod etika malah tiada niat untuk berbuat demikian.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen dan sudah memohon maaf atas kesilapan itu,” katanya. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN