Hina Nabi: India di tengah-tengah ketegangan diplomatik   - Utusan Malaysia

Hina Nabi: India di tengah-tengah ketegangan diplomatik  

NUPUR Sharma - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Kehebatan berhujah dan berdebat dalam menyampaikan pandangan mengenai pelbagai isu termasuk politik, sepatutnya digunakan oleh Nupur Sharma di landasan yang betul. 

Bagaimanapun, pegawai parti Bharatiya Janata (BJP) itu sengaja memilih untuk mencipta provokasi antara agama sehingga menyebabkan krisis diplomatik di India.

Sepatutnya, wanita tersebut memperjuangkan isu rakyat India yang masih dibelenggu dengan kemiskinan, kebuluran dan hak asasi wanita sejak beberapa dekad lalu.      

India kini berada di tengah-tengah ketegangan diplomatik susulan kenyataan berbentuk penghinaan dibuat oleh Sharma mengenai Nabi Muhammad SAW.

Memetik laporan BBC, kenyataan Nupur Sharma yang disiarkan semasa siaran debat di televisyen, mencetuskan kemarahan umat Islam di India dan dari puluhan negara Islam lain.

BJP menggantung keahlian Sharma daripada parti itu, Ahad lalu.

Ketua Operasi Media Delhi BJP, Naveen Kumar Jindal pula dibuang kerana berkongsi tangkap layar komen Sharma di Twitter.

BJP dalam satu kenyataan menegaskan partinya menentang sebarang ideologi yang menghina atau meremehkan mana-mana agama.

Jelas BJP, partinya juga tidak menggalakkan perbuatan individu atau ideologi demikian.

Malah, dalam usaha meredakan kemarahan negara Islam, diplomat India tampil menjelaskan kenyataan Sharma tidak mencerminkan langsung pendirian kerajaan India.

Namun, sebelum dipecat, jurucakap rasmi parti BJP itu dilaporkan kerap muncul hampir setiap malam dalam siaran debat di televisyen untuk mewakili dan mempertahankan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Sementara itu, Sharma dalam satu kenyataan selepas dipecat memaklumkan dia menarik balik komen dilakukannya `tanpa syarat’.

Bagaimanapun, Sharma cuba mewajarkan komen dibuat dengan mendakwa tindakan itu kononnya merupakan sebahagian tindak balas kepada penghinaan berterusan terhadap dewa Hindu.  

Sharma membuat kenyataan menyinggung perasaan semasa perdebatan mengenai pertikaian masjid Gyanvapi.   

Pegawai dari parti pemerintah India itu dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah, Saidatina Aisyah menerusi debat tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN