fbpx

Harga sawit Indonesia jatuh 0.12 sen sekilogram, peladang ‘gigit jari’

JAMBI: Harga sawit yang terus jatuh sehingga 400 rupiah (0.12 sen) sekilogram menyebabkan golongan peladang buntu dan membuat keputusan untuk berhenti menanam tanaman komoditi tersebut.

Bagi meneruskan kehidupan, mereka sanggup melakukan pelbagai kerja dan membiarkan kelapa sawit tumbuh tanpa perawatan dan pengumpulan.

Seorang peladang, Affandi di Desa Jambi memberitahu, dia perlu melakukan pelbagai kerja untuk memastikan keluarganya tidak berlapar.

“Perkara yang buat saya pening kepala adalah anak mahu masuk sekolah tapi duit tidak mencukupi.

“Saya terpaksa berhutang sana sini untuk pastikan keperluan kami sekeluarga mencukupi. Situasi ini sukar untuk kami,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.

Katanya, dengan harga 400 rupiah sekilogram, jumlah itu tidak cukup untuk peladang kecil-kecilan seperti dia untuk meneruskan penanaman.

Selain itu, Affandi juga tidak mampu membayar upah tenaga pekerja untuk mengumpul buah sawit yang sudah masak.

“Saya perlu membayar upah sekurang-kurangnya 200,000 rupiah (RM59) bagi setiap satu tan buah sawit yang dikumpul.

“Tapi dengan harga buah yang begitu murah ketika ini, bagaimana saya mampu untuk mengupah pekerja? Akhirnya kesemua buah yang sudah masak akan dibiarkan begitu sahaja sehingga busuk.

“Jual atau tidak, sama sahaja selagi harga terus turun,” luahnya.

Affandi juga mengakui dia pernah menjadi buruh binaan dan menoreh getah asalkan keperluan keluarganya dapat dipenuhi.

Sementara itu, sejumlah pengusaha ladang kelapa sawit turut membuat keputusan berhenti membeli tanaman komoditi itu daripada golongan peladang.

Seorang daripadanya, Ahmad Muaz memberitahu, harga yang paling tinggi mereka tawarkan untuk membeli sawit daripada peladang adalah antara 500-700 rupiah (0.15 sen-0.21 sen) sekilogram.

“Kalau beli tetapi tidak boleh dijual, apa gunanya? Maka banyak dalam kalangan kami membuat keputusan menutup perusahaan daripada menanggung kerugian yang tinggi,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!