Doktor tersilap bedah saluran sperma pesakit - Utusan Malaysia

Doktor tersilap bedah saluran sperma pesakit

GAMBAR hiasan - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Sebuah keluarga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah hospital kanak-kanak di Texas kerana didakwa tersilap melakukan pembedahan vasektomi terhadap anak lelaki mereka.

Lapor Metro, kanak-kanak berusia empat tahun itu sepatutnya menjalani pembedahan hernia di bahagian pangkal paha di hospital berkenaan, Ogos tahun lalu.

Namun, seorang pakar bedah di hospital terbabit tersilap memotong salah satu salur pembawa sperma kanak-kanak tersebut.

Ini bermakna budak lelaki itu berkemungkinan perlu menjalani pembedahan lain dan boleh menghadapi masalah kesuburan pada masa hadapan.

Vasektomi merupakan kaedah pemandulan berbentuk pembedahan.

Peguam yang mewakili keluarga itu, Randy Sorrels berkata, mereka kini dalam proses menyaman doktor dan pihak pengurusan hospital tersebut.

“Kami merasakan pakar bedah secara tidak sengaja memotong vas deferens, salah satu salur yang membawa sperma.

“Ini boleh menjejaskan kehidupan budak lelaki itu untuk sepanjang hayatnya,” katanya.

Menurut Sorrels, keluarga mangsa bimbang mengenai kesan bakal dihadapi oleh anak mereka dari segi fizikal dan emosi apabila menjadi dewasa.

“Mereka juga berasa bimbang tentang anaknya yang terpaksa menjelaskan masalah dialami kepada bakal isterinya nanti.

“Ini bukan satu kesilapan biasa dilakukan, malah doktor gagal mengenal pasti dengan tepat anatomi yang perlu dibedah. Ia tidak diketahui sehingga dihantar ke makmal patologi,” katanya.

Sementara itu, Sorrels berkata, pakar bedah yang melakukan pembedahan terhadap budak lelaki itu dikatakan tidak mempunyai rekod kesilapan sebelum ini.

“Walaupun permohonan maaf sudah diberikan namun pihak pengurusan hospital masih perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN