BANGKOK: Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul mendakwa tidak mustahil kes Covid-19 di negara itu boleh melonjak berikutan banyak kelab malam kini boleh beroperasi semula.
Lapor Metro, Charnvirakul menjangka bilangan jangkitan Covid-19 di Thailand boleh mencecah hingga 10,000 kes sehari.
Katanya, jumlah kes baharu Covid-19 boleh meningkat dalam tempoh tiga hingga lima hari selepas pusat hiburan di Thailand dibenarkan beroperasi secara rasmi, 1 Jun lalu.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Awam, beberapa pusat hiburan didapati berisiko tinggi kerana bunyi muzik kuat dalam premis menyebabkan pelanggan terpaksa bercakap dengan lebih kuat.
“Pelanggan mungkin menanggalkan pelitup muka mereka dan mendekati satu sama lain untuk bercakap. Situasi ini boleh menyebabkan peningkatan jangkitan.
“Wujudnya kebimbangan terhadap pelanggan yang menari dan berkongsi cermin mata ketika sedang berseronok di pusat hiburan,” katanya dalam sidang akhbar.
Sebelum ini, banyak kelab malam yang terletak di lokasi pelancongan popular sudah dibuka sejak beberapa bulan lalu di bawah garis panduan Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) yang membolehkan premis berkenaan beroperasi sebagai restoran.
Dengan berdaftar sebagai restoran, kelab malam berkenaan boleh beroperasi semula dan menghidangkan minuman alkohol sehingga tengah malam sejak 1 Mei lalu.
Kini, pusat hiburan memohon untuk beroperasi semula secara rasmi walaupun ramai berpandangan premis berkenaan sudah lama dibuka.
Sejak 1 Jun lalu, kira-kira 300 kelab malam di Bangkok memohon pendaftaran untuk beroperasi semula secara rasmi.
Menteri Kesihatan turut memberi amaran sekiranya bilangan jangkitan harian Covid-19 mencecah lebih 10,000 kes, rancangan pembukaan semula pusat hiburan malam di Thailand tidak dapat dilaksanakan.










