WASHINGTON: Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) meluluskan pemberian vaksin Covid-19 keluaran Pfizer dan Moderna kepada golongan kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
Keputusan itu disambut baik oleh Presiden Joe Biden yang menyifatkannya sebagai langkah bersejarah dalam memerangi virus berkenaan.
Selain itu, AS menjadi negara pertama meluluskan penggunaan vaksin dengan teknologi mRNA bagi kanak-kanak seawal usia enam bulan.
Pada Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS meluluskan penggunaan kecemasan bagi kanak-kanak, yang sebelum ini perlu berusia sekurang-kurangnya lima tahun untuk menerima vaksin.
Namun, vaksin tersebut memerlukan kelulusan lanjut daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Pengarah CDC, Rochelle Walensky berkata, ramai ibu bapa dan penjaga ‘sudah tidak sabar’ untuk mendapatkan vaksin sebagai perlindungan buat anak-anak mereka.
Dalam pada itu, Biden memaklumkan, ibu bapa boleh membuat temu janji seawal minggu depan untuk membolehkan anak mereka divaksin di hospital, klinik, atau farmasi.
Beliau turut memberi jaminan vaksin berkenaan selamat dan berkesan dalam memberi perlindungan daripada Covid-19.
Vaksin Moderna akan diberikan dalam dua suntikan selang sebulan, manakala bagi Pfizer, kanak-kanak akan menerima tiga suntikan iaitu dua suntikan pertama dalam tempoh tiga minggu, diikuti yang ketiga lapan minggu kemudian.
Kira-kira 20 juta kanak-kanak AS layak untuk menerima vaksin tersebut. – AFP










