fbpx

Bakteria terbesar dunia ditemukan di Guadeloupe

POINTE-A-PITRE: Saintis menemukan varian bakteria terbesar di dunia, ‘Thiomargarita magnifica’ yang bersaiz sehingga dua sentimeter, iaitu 5,000 kali lebih besar berbanding bakteria lain.

Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal sains, bakteria yang ditemukan di hutan bakau Guadeloupe itu boleh dilihat dengan mata kasar dan mempunyai struktur yang lebih kompleks.

Pakar biologi di Universiti Antilles, Prof Olivier Gros yang juga pengarang bersama kajian itu berkata, penemuan berkenaan ternyata memberi kesan besar dalam bidang mikrobiologi.

Gros berkata, beliau menguji bakteria itu di dalam tabung uji yang kelihatan seperti bulu mata berwarna putih di makmalnya di bandar kumpulan pulau Caribbean Pointe-a-Pitre.

“Pada mulanya saya fikir ia bukan bakteria kerana saiznya yang besar,” katanya.

Penyelidik itu pertama kali melihat filamen aneh dalam tompok sedimen bakau yang kaya dengan sulfur pada tahun 2009.

Penemuan melalui teknik termasuk mikroskop elektronik mendedahkan ia adalah organisma bakteria, tetapi tidak ada jaminan ia adalah satu sel.

Ahli biologi molekul, Silvina Gonzalez-Rizzo, pula mendapati bakteria itu tergolong dalam keluarga Thiomargarita, iaitu jenis bakteria yang diketahui menggunakan sulfida untuk berkembang.

Sementara itu, seorang penyelidik di Paris berpendapat bakteria yang ditemukan itu adalah satu sel.

Namun, percubaan pertama penerbitan dalam jurnal saintifik sebelum ini dibatalkan.

Gros berkata, pihaknya diberitahu penemuan itu menarik, namun pihaknya kekurangan maklumat untuk mendapatkan kepercayaan terbabit menyebabkan mereka memerlukan imej yang lebih kukuh sebagai bukti.

Seorang penyelidik muda, Jean-Marie Volland, kemudiannya berjaya mengkaji bakteria itu di Makmal Kebangsaan Lawrence Berkeley, yang dikendalikan oleh Universiti California.

Dengan sokongan kewangan dan akses kepada beberapa alat terbaik dalam bidang ini, Volland dan pasukannya mula membina gambaran bakteria tersebut. – AFP

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!