Askar upahan Ukraine dihukum mati

Askar upahan Ukraine dihukum mati

TIGA askar upahan dari Britain dan Maghribi yang berjuang untuk Ukraine dijatuhkan hukuman mati oleh pemberontak pro-Russia.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TLYSYCHANSK: Dua rakyat Britain dan seorang warga Maghribi yang ditawan ketika berjuang untuk Ukraine dijatuhkan hukuman mati oleh pemberontak pro-Russia.

Agensi berita Russia, Interfax melaporkan, pihak berkuasa pemisah di wilayah Donetsk, iaitu sebahagian daripada Donbas yang menjadi rebutan, mengarahkan hukuman mati ke atas Aiden Aslin, Shaun Pinner dan Saadun Brahim selepas mereka dituduh bertindak sebagai askar upahan untuk Kyiv.

Tertuduh mengaku bersalah melakukan tindakan yang bertujuan untuk merampas kuasa dan menggulingkan perintah Perlembagaan Republik Rakyat Donetsk, ketika perbicaraan berlangsung selama tiga hari. 

Kedua-dua warga Britain itu menyerah diri pada April di Mariupol, bandar pelabuhan selatan yang ditawan oleh tentera Russia selepas pengepungan selama berminggu-minggu, manakala, Brahim menyerah diri Mac lalu di bandar timur Volnovakha.

Hukuman itu dilaksanakan ketika seorang Gabenor Ukraine meminta bantuan senjata dari Barat bagi memenangi pertempuran sebuah bandar penting di kawasan timur.

Susulan itu, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson menyatakan kebimbangan mengenai hukuman tersebut kerana berdasarkan Konvensyen Geneva tawanan perang berhak mendapat imuniti tempur.

Sebaliknya, Moscow berulang kali memberi amaran kepada Barat supaya tidak terbabit dalam konflik dan kini menyasarkan pusat latihan Ukraine untuk askar upahan asing di wilayah Zhytomyr, barat Kyiv.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, memberi amaran konflik yang berlaku akan memberi kesan kepada kelaparan, kebuluran, gangguan sosial dan ekonomi kepada seluruh dunia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pula menggesa Russia dipecat daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) PBB dan menyalahkan Moscow kerana menyebabkan kelaparan sehingga mendorong krisis bijirin global akibat menyerang negaranya.-AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya