fbpx

125 arca dihantar ke bulan guna SpaceX, dijual dalam NFT

ARCA 'Moon Phases' yang dijual di Art Basel akan dihantar ke bulan dengan bantuan roket SpaceX. -AFP

NEW YORK: Seniman Amerika Syarikat (AS), Jeff Koons merancang untuk menerbangkan 125 arca karyanya ke bulan menggunakan pesawat angkasa lepas, SpaceX milik Elon Musk.

Lapor Daily Mail, kesemua arca itu merupakan versi miniatur yang diberi nama Moon Phases.

Setiap arca yang diterbangkan ke bulan akan dijual sebagai Non-Fungible Token (NFT), iaitu berfungsi seperti sijil pemilikan.

Arca-arca tersebut akan ditempatkan sejauh 384,400 kilometer daripada pemilik asalnya.

Arca Moon Phases turut dilancarkan oleh Pace Gallery dalam acara pameran Art Basel di Switzerland.

Arca berbentuk bulan sebesar bola pantai itu masih dipersembahkan dalam pameran tersebut yang berlangsung dari 16 hingga 19 Jun lalu.

Pembeli karya seni hasil sentuhan artis kedua terkaya di dunia itu juga akan menerima arca berukuran asal dengan batu permata yang menandai lokasi patung versi miniatur di bulan.

Selain itu, Moon Phases juga dilengkapi foto lokasi di bulan yang menempatkan miniatur arca tersebut.

Menurut Clare McAndrew, penulis laporan pasar seni untuk Art Basel, hanya enam peratus galeri yang menjual NFT, tahun lalu.

“Pasang surut pasaran NFT tidak mengganggu pendirian Pace Gallery yang percaya NFT mewakili metodologi baharu untuk mengedarkan karya seni digital,” katanya.

Selain seni digital, Art Basel juga mempamerkan sejumlah karya bukan digital seperti yang dihasilkan oleh seniman Perancis berasal dari China, Huang Yong Ping yang menggambarkan dapur yang dipenuhi lipas gergasi.

Terdapat juga rangkaian potret yang diukir di kayu yang dihasilkan oleh seniman Perancis, Kamerun Barthelemy Toguo.

Arca labah-labah yang diukir oleh artis Perancis, Louise Bourgeois pula dijual AS$40 juta (RM176 juta).

Antara koleksi lain yang dipamerkan adalah arca kapal layar, kereta mewah, jam tangan dan barang kemas.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!