JAKARTA: Persatuan Pedagang Mi dan Bakso Indonesia (Papmiso) mengakui pendapatan peniaga mereka di Karawang, Jawa Barat jatuh sebanyak 30 hingga 40 peratus.
Ia berikutan satu video yang tular dalam media sosial mendakwa peniaga bakso menggunakan daging tikus untuk menghasilkan bebola daging dan menjualnya.
Memetik laporan Tribunnews.com, video itu terbukti palsu berdasarkan hasil ujian makmal dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Jabatan Kesihatan Karawang.
Meskipun dikecam hebat, Ketua Papmiso Indonesia, Bambang Haryanto memaafkan pemilik akaun, @leogirl631 yang memuat naik video bakso berkenaan.
Malah, kata beliau, pihaknya juga tidak akan mengambil tindakan undang-undang berkaitan video bebola daging dikaitkan dengan daging tikus itu.
“Sebagai warga Timur, kami tidak akan ambil tindakan undang-undang ke atas pemilik akaun TikTok itu. Kami sudah memaafkannya,” katanya.
Menurut Bambang, kesan video palsu itu menyebabkan peniaga bakso di Karawang kerugian kira-kira 30 hingga 40 peratus pendapatan selama empat hari sejak ia mula menjadi tular.
Justeru, beliau berharap agar pendapatan dan nama baik peniaga bakso akan pulih seperti biasa selepas hasil ujian makmal tersebut.
“Semoga hasil ujian ini dapat mengembalikan semangat peniaga bakso dan para pelanggannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Karawang, Aldi Subartono mengesahkan hantaran di media sosial yang mendakwa wujudnya bakso daging tikus di wilayah itu adalah tidak benar.
“Ujian sampel baki bebola daging yang dimakan oleh seorang penduduk sepertimana disiarkan dalam media sosial dan sampel dari lokasi penjual bakso menunjukkan negatif untuk daging tikus,” katanya.










