LONDON: Agensi Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom (UK) berjaya menahan individu dipercayai ketua jenayah operasi antarabangsa yang membekalkan bot kecil kepada penyeludup membawa pendatang menyeberangi selat perairan negara itu.
Jumlah pendatang yang menyeberangi laluan kapal dari utara Perancis mencatatkan rekod tertinggi sekali gus mendorong UK bertindak keras termasuk mengemukan cadangan untuk menghantar mereka ke Rwanda.
Menurut NCA, pihaknya menahan suspek dipercayai `ketua bot kecil’, Hewa Rahimpur yang berasal dari Iran, di tempat kerjanya di timur London.
Penahanan itu dilakukan dalam satu operasi bersama UK dan agensi penguatkuasa undang-undang Belgium.
Timbalan Pengarah Penyiasat, Jacque Beer berkata, Rahimpur, 29, dikehendaki di Belgium kerana disyaki menjadi dalang utama dalam satu rangkaian yang terlibat membekalkan sejumlah besar bot kecil untuk kegiatan penyeludupan manusia.
Beliau turut memuat naik rakaman yang memaparkan beberapa pegawainya menahan lelaki itu.
“Rahimpur didakwa menjadi pemain utama dalam salah satu rangkaian jenayah paling penting dalam membekalkan bot kepada penyeludup.
“Majoriti kumpulan penjenayah terbabit dalam kes ini berpangkalan di luar UK namun setelah menjejak mereka di UK, kita akan bertindak pantas untuk membongkar mereka,” katanya.
Rahimpur didakwa membekalkan bot di Turki dan membawanya ke Jerman, Belgium dan Belanda.
Dia kemudian didakwa mengarahkan ahli kumpulannya untuk membawa mereka ke pantai Selat di utara Perancis yang digunakan oleh pendatang.
Rahimpur akan dihadapkan ke mahkamah di London bagi memulakan prosiding ekstradisi. – AFP