VILNIUS: Ratusan warga Lithuania mengambil inisiatif untuk mengumpul dana membeli sebuah dron canggih dari Turki untuk diserahkan kepada tentera Ukraine.
Lapor Reuters, usaha pengumpulan dana itu sudah mencecah tiga juta euro (RM14 juta) dan akan dilanjutkan sehingga dana berjaya mencapai sasaran lima juta euro (RM23 juta).
Selepas itu, pembelian dron akan diaturkan oleh Kementerian Pertahanan Lithuania.
Seorang warga Lithuania, Agne Belickaite berkata, tiada sesiapa pernah terifkir akan membeli senjata sebelum perang bermula.
“Tetapi itu adalah perkara yang normal sekarang kerana sesuatu perlu dilakukan agar dunia menjadi lebih baik,” katanya.
Menurut Kementerian Pertahanan Lithuania, dron adalah antara alat peperangan yang paling efektif untuk melawan pasukan Russia dan sekutu mereka semasa konflik di Syria dan Libya.
Dron bukan sahaja berfungsi untuk mengganggu isyarat komunikasi musuh, tetapi berfungsi untuk misi pengawasan dan pengintaian.
Duta Besar Ukraine di Lithuania, Beshta Petro berkata, buat kali pertama dalam sejarah rakyat biasa bersatu hati mengumpulkan wang untuk membeli alat ketenteraan seperti dron Bayraktar.
Sebelum usaha pengumpulan dana itu, Ukraine sendiri sudah membeli lebih 20 dron Bayraktar TB2 dari syarikat persenjataan Turki.
Mac lalu, Ukraine menambah bekalan 16 dron sama.