BAITULMUQADDIS: Israel memaklumkan Presiden Russia, Vladimir Putin memohon maaf susulan kenyataan dikeluarkan Menteri Luarnya, Sergei Lavrov yang mendakwa pemimpin Nazi, Adolf Hitler `mempunyai darah keturunan Yahudi’.
Kenyataan Lavrov menerima kecaman hebat dalam kalangan pemimpin politik Israel.
“Perdana menteri menerima permohonan maaf Putin susulan kenyataan Lavrov.
“Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Putin kerana menjelaskan pandangannya terhadap orang Yahudi dan memori berkaitan Holocaust,” kata Pejabat Perdana Menteri, Naftali Bennett dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, ringkasan Kremlin mengenai panggilan rasmi antara Bennett dan Putin tidak menyebut mengenai permohonan maaf Putin.
Ia hanya menyatakan bahawa pemimpin berkenaan membincangkan mengenai `memori bersejarah’ holocaust.
Lavrov membuat kenyataan itu dalam satu wawancara di program televisyen Itali, Zona Bianca pada Ahad lalu, beberapa hari selepas Israel menandakan Hari Peringatan Holocaust.
Lavrov ditanya mengenai dakwaan Russia kononnya berusaha menghapuskan elemen Nazi di Ukraine sedangkan Presiden Volodymyr Zelensky sendiri berbangsa Yahudi.
“Saya mungkin salah tetapi Hitler juga mempunyai darah Yahudi,” katanya.
Menteri Luar Israel, Yair Lapid menyifatkan kenyataan Lavrov sebagai `keterlaluan, tidak boleh dimaafkan dan kesilapan sejarah yang teruk’.
Bennett pula mengecam kenyataan itu sebagai ‘pembohongan’ yang secara berkesan ‘mendakwa orang Yahudi melakukan jenayah paling teruk dalam sejarah’, terhadap diri sendiri.
Duta Russia ke Israel dipanggil untuk ‘memperjelaskan’ kenyataan diplomat tertinggi Moscow itu. – AFP