NEW DELHI: Seorang pegawai polis didakwa merogol remaja perempuan berusia 13 tahun apabila mangsa ke balai untuk membuat laporan bahawa dia dirogol secara berkumpulan.
Memetik laporan Daily Mail, pegawai polis, Tilakdhari Saroj berjaya ditahan selepas melarikan diri di Uttar Pradesh, utara India.
Bapa mangsa mendakwa empat lelaki melarikan anak perempuannya ke Madhya Pradesh pada 22 April lalu dan merogolnya selama empat hari.
Lelaki itu kemudian membawa mangsa pulang ke kampungnya di daerah Lalitpur, Uttar Pradesh sebelum melarikan diri.
Berdasarkan laporan polis, pada keesokan harinya, remaja itu pergi ke balai polis bersama ibu saudaranya untuk membuat aduan namun dia dirogol lagi, kali ini oleh anggota polis.
Menurut laporan, Tilakdhari didakwa membawa remaja itu ke dalam sebuah bilik dan merogolnya di hadapan ibu saudaranya.
Ketua Polis Daerah Lalitpur, Nikhil Pathak berkata, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak membawa mangsa ke pejabatnya dan mendedahkan kejadian menimpa remaja itu.
“Pegawai itu sudah digantung kerja dan dia seorang penjenayah dikenali, jadi kami menubuhkan pasukan khas untuk menahannya.
“Setelah mendapat tahu insiden itu, saya mengarahkan kertas siasatan dibuka,” katanya.
Tilakdhari didakwa di bawah Akta Perlindungan Kanak-Kanak daripada Kesalahan Seksual (POCSO) yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup sekiranya disabitkan kesalahan.
Nikhil berkata, enam orang dinamakan sebagai suspek dalam kes itu dan empat ditahan termasuk Tilakdhari.
Jelasnya, pegawai lain yang turut berada di balai polis ketika kejadian telah digantung tugas.
Insiden terbaharu itu mencetuskan kemarahan rakyat di seluruh India.