JAKARTA: Wabak penyakit mulut dan kuku (FMD) yang menyerang ribuan haiwan ternakan di beberapa daerah di Aceh dan Jawa Timur dijangka tidak memberi kesan terhadap stok haiwan menjelang Hari Raya Aidiladha.
Kementerian Pertanian memberi jaminan stok haiwan korban pasti mencukupi dan tidak terganggu biarpun wabak berlaku.
Aidiladha tahun ini dijangka jatuh pada tarikh 10 Julai 2022.
Ketua Pengarah Penternakan dan Kesihatan Haiwan di kementerian tersebut, Nasrullah berkata, keperluan haiwan ternakaan bagi ibadah korban kebiasaannya merangkumi 10 hingga 20 peratus daripada jumlah populasi yang ada.
“Insya Allah, stok haiwan korban terjamin menjelang Aidiladha tahun ini.
“Kita akan pastikan bekalan tidak terganggu dan haiwan korban yang dipilih bebas daripada sebarang penyakit,” katanya seperti yang dilaporkan Kompas.com.
Selain itu, beliau juga memaklumkan pihak berkuasa akan mengatur prosedur yang bersesuaian bagi membolehkan haiwann korban dihantar ke lokasi dan wilayah lain secara lancar serta selamat.
“Dalam masa dua hingga tingga minggu sebelum Aidiladha, kita akan pastikan stok haiwan korban mencukupi,” ujarnya.
Sehingga kini, terdapat dua daerah yang dilanda wabak FMD iaitu di Aceh dan Jawa Timur.