SHAH ALAM: Sekumpulan tiga rakyat Vietnam meraih antara RM4,000 hingga RM40,000 sebulan dengan menawarkan perkhidmatan cap pasport kepada warga asing khususnya mereka yang tinggal lebih masa di negara ini.
Malah, sindiket yang beroperasi di Taman Sri Andalas, Klang itu turut menjadikan rumah sewa mereka sejak dua tahun lalu sebagai tempat jualan kek secara dalam talian bagi menyorokkan kegiatan pemalsuan dokumen perjalanan berkenaan.
Selain itu, mereka turut menggunakan cap pintu masuk negara di Bangunan Sultan Iskandar serta Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru sebagai pas lawatan sosial dalam kegiatan mereka untuk memberi keyakinan kepada pihak berkuasa jika pemiliknya diperiksa.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, antara modus operandi kegiatan kumpulan itu adalah dengan menggunakan perkhidmatan p-hailing bagi menerima dan memulangkan pasport yang dicap oleh mereka.
Katanya, bahkan jiran-jiran juga menganggap sindiket terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 26 hingga 40 tahun itu aktif menjual kek apabila kelihatan pekerja p-hailing kerap datang ke rumah mereka bagi mengambil kotak dipercayai diisi snek berkenaan.
“Mereka tidak menjalankan perniagaan itu, sebaliknya menggunakan kotak bersaiz seperti bungkusan kek untuk diisi pasport bagi mengelak prasangka buruk jiran-jiran.
“Sindiket itu juga menerima permintaan pasport warga pelbagai negara untuk mendapatkan cap palsu pada harga RM400. Malah, mereka turut menggunakan bahan peluntur bagi memadam cap yang sudah tamat tempoh sebelum memberikan cap baharu,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Tambahnya, ketiga-tiga suspek terbabit dipercayai turut menggunakan cap palsu sama pada dokumen pengenalan mereka.
Khairrul Aminus berkata, bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar apabila ia dapat dihidu pasukan penguatkuasa JIM Selangor yang membuat risikan terhadap sindiket berkenaan dan lokasi mereka beroperasi pada dua minggu lalu.
“Susulan maklumat tersebut, pasukan JIM Selangor menerusi Operasi (Op) Serkap melakukan serbuan di rumah teres dua tingkat terbabit pada pukul 4 petang semalam (kelmarin).
“Ketika serbuan, pasukan turut merampas seperti 10 pasport Vietnam, dua jenis cap keluar dan masuk, sebuah kereta Subaru XV, wang tunai RM2,150 serta peralatan seperti bahan peluntur dipercayai untuk mencuci cap lama dengan nilai keseluruhan lebih RM50,000,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua suspek kini direman selama dua minggu bermula semalam di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih.
“Suspek disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 iaitu berkaitan pemalsuan atau pindaan bagi pengendorsan atau dokumen yang dipalsukan yang membawa hukuman denda sehingga RM30,000, penjara sehingga lima tahun dan enam kali sebatan.
“Selain itu, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 12(1)(a) dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 iaitu memalsukan pasport,” jelasnya. – UTUSAN











