KARANGANYAR: Sesi latihan silat yang berlangsung di Karanganyar, Jawa Tengah bertukar tragedi apabila seorang daripada pelajar maut selepas dipukul dan ditendang jurulatihnya.
Lapor Kompas.com, kejadian itu berlaku ketika sekumpulan pelajar silat menjalani latihan pada minggu lalu.
Sesi tersebut menumpukan latihan menguatkan fizikal para pelajar.
Dalam sesi latihan itu, kekuatan fizikal para pelajar akan diuji dengan pukulan dan tendangan oleh beberapa jurulatih.
Jurucakap polis Karanganyar, Purbo Adjar Waskito berkata, mangsa rebah dan mengalami kekejangan badan sebelum dikejarkan ke hospital.
Katanya, sebaik tiba di hospital, mangsa disahkah sudah meninggal dunia.
“Menurut keterangan beberapa saksi, mangsa dipukul dan ditendang di bahagian depan badan oleh beberapa jurulatih.
“Selepas giliran jurulatih terakhir menendang dan membuat pukulan, mangsa rebah dan sehubungan itu, polis akan menyiasat sekiranya mangsa dipukul bertubi-tubi,” katanya.
Sementara itu, jurulatih terakhir yang membuat pukulan terhadap mangsa kini ditahan bagi membantu siasatan.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dipenjara selama 15 tahun.