JEDDAH: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lapangan terbang Jeddah, Ryyan Tarabzoni dipecat daripada jawatannya susulan kekecohan yang berlaku di lapangan tersebut baru-baru ini, lapor Saudi Gazette.
Kekecohan itu tercetus selepas ramai penumpang membuat aduan berikutan banyak penerbangan ditangguhkan sehingga menjejaskan jadual perjalanan mereka.
Lembaga Pengarah Syarikat Lapangan Terbang Jeddah membuat keputusan tersebut setelah Rayyan dikatakan gagal mengendalikan lapangan terbang Jeddah dengan baik semasa musim kemuncak Aidilfitri dan juga ketika musim umrah.
Menteri Pengangkutan Saudi, Saleh Al-Jasser pada Khamis lalu mengarahkan satu jawatankuasa menjalankan siasatan segera terhadap kekecohan dan kesesakan yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.
Menurut laporan itu, tempat Rayyan akan diganti dengan Ayman Aboabah.
Ayman mempunyai pengalaman kerja lebih 28 tahun termasuk sebagai Timbalan Naib Presiden Operasi di Syarikat Lapangan Terbang Riyadh.