Kanak-kanak perempuan Afghanistan belajar di sekolah `rahsia’  - Utusan Malaysia

Kanak-kanak perempuan Afghanistan belajar di sekolah `rahsia’ 

taliban
WANITA dan kanak-kanak perempuan di Afghanistan melakukan protes menuntut Taliban membuka semula sekolah menengah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Golongan kanak-kanak perempuan di Afghanistan terpaksa belajar di sekolah `rahsia’ bagi memastikan pendidikan mereka terjamin dan tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Langkah itu diambil ketika kerajaan Taliban terus menutup sekolah untuk pelajar perempuan.

Memetik laporan BBC, puluhan remaja perempuan didapati menghadiri kelas matematik di sebuah sekolah rahsia baharu yang tersembunyi di kawasan perumahan di Afghanistan.

“Kami sedar ancaman yang bakal terjadi malah kami khuatir mengenainya. 

“Namun, pendidikan bagi wanita lebih bernilai daripada apa-apa pun (risiko),” kata seorang guru di sekolah itu.

Menurut guru tersebut, dia berusaha menyediakan persekitaran sekolah rahsia seolah-olah bilik darjah sebenar. 

“Kami cuba melakukan yang terbaik secara rahsia. 

“Usaha ini amat berbaloi walaupun selepas ini mereka menahan atau memukul saya,” katanya.   

Hampir semua kecuali di beberapa wilayah di Afghanistan, sekolah menengah perempuan diarahkan untuk ditutup oleh Taliban.    

Pada Mac lalu, Taliban melarang kanak-kanak perempuan meneruskan pendidikan mereka di sekolah menengah dan kolej selepas beberapa jam institusi pendidikan dibuka semula.

Keputusan yang diarahkan oleh pemimpin tertinggi Taliban dan Hibatullah Akhundzada menimbulkan kemarahan ramai rakyat Afghanistan dan masyarakat antarabangsa.

Malah, bagi pelajar-pelajar di sekolah rahsia dan ramai lagi remaja perempuan, kesannya masih boleh dirasai.

“Sudah lebih dua bulan dan sekolah masih belum dibuka lagi. 

“Situasi ini membuatkan saya sedih dan bimbang mengenai masa depan saya,” kata seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun di bilik darjah itu.

Seorang lagi pelajar perempuan berusia 15 tahun menasihatkan gadis seusianya di Afghanistan untuk menjadi lebih berani dan tidak berputus asa.

“Sekiranya kita berani, tiada sesiapa pun yang mampu menghalang kita daripada mencapai kejayaan,” katanya.  

Ketika ini, kanak-kanak perempuan sudah boleh memulakan pengajian di sekolah rendah dibawah pemerintahan Taliban sekali gus menyaksikan kehadiran yang tinggi susulan peningkatan keselamatan di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada remaja perempuan akan dibenarkan untuk meneruskan pendidikan mereka di peringkat menengah. 

Sebelum ini, pihak berkuasa Taliban berulang lagi memaklumkan akan membenarkan semua kanak-kanak perempuan untuk pergi ke sekolah.

Namun, Taliban juga pernah mengakui pendidikan wanita adalah isu sensitif kepada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya