COLOMBO: Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe memberi amaran negara itu berdepan kekurangan bekalan makanan disebabkan krisis ekonomi yang melanda.
Kerajaan turut berikrar akan membeli baja yang mencukupi untuk musim penanaman akan datang bagi meningkatkan hasil tuaian.
Keputusan Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa sejak April tahun lalu untuk melarang semua baja kimia secara drastik menyebabkan hasil tanaman berkurangan.
Walaupun pihak kerajaan membatalkan larangan itu, sehingga kini belum ada sebarag import barangan yang besar dilakukan.
“Walaupun mungkin tiada masa untuk mendapatkan baja bagi musim Yala (Mei-Ogos), kerajaan sedang mengambil langkah untuk memastikan stok mencukupi bagi musim Maha (September-Mac).
“Saya dengan berat hati mahu semua rakyat menerima betapa beratnya keadaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Gabenor Bank Pusat Sri Lanka, Nandalal Weerasinghe berkata, negara itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan bagi membayar balik hutangnya.
Jelasnya, pembayaran balik hutang tidak akan dibuat sehingga negara dapat menstruktur semula hutang luar negara berjumlah AS$51 bilion (RM224.65 bilion).
“Kami berharap dapat mencapai persetujuan dengan pemiutang dalam masa kira-kira enam bulan.
“Pendirian kami sangat jelas sehingga mereka datang untuk menyusun semula perjanjian, kami belum dapat membuat pembayaran lagi,” katanya.
Menurut Weerasinghe, pihaknya sudah mengeluarkan dolar mencukupi bagi membayar penghantaran bahan api dan gas memasak dengan menggunakan sebahagian AS$130 juta yang diterima daripada Bank Dunia serta kiriman wang daripada warga Sri Lanka yang bekerja di luar negara.
Inflasi boleh meningkat kepada 40 peratus dalam beberapa bulan akan datang, yang sebahagian besarnya didorong oleh tekanan daripada aspek penawaran dan langkah-langkah pihak bank mengekang krisis tersebut.
April lalu, kadar inflasi mencecah 29.8 peratus dengan harga makanan meningkat 46.6 peratus dari tahun ke tahun.
Dalam pada itu, anggota polis melepaskan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan pelajar.
Tindakan itu bagi mengusir ratusan pelajar yang mengibarkan bendera hitam semasa berhimpun di tengah Colombo sambil melaungkan slogan terhadap kerajaan.
Sri Lanka yang kehabisan minyak petrol minggu ini menghadapi krisis ekonomi paling dahsyat sejak 1948.-REUTERS