fbpx

Adakah Malaysia akan ikut jejak langkah Sri Lanka? – Lim Kit Siang

LIM KIT SIANG

PETALING JAYA: Adakah Malaysia sedang mengikut jejak langkah Sri Lanka, yang suatu masa dahulu dikenali sebagai permata Asia Selatan, tetapi kini berdepan krisis bankrap?

Itu persoalan yang dibangkitkan veteran pemimpin DAP, Lim Kit Siang, berdasarkan perkembangan ekonomi negara dan jangkaan terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) ketika ini.

“Dalam perkembangan KDNK, kita membangun 90 kali ganda di antara tempoh dari 1970 sehingga 2020, tetapi KDNK untuk Korea Selatan mengembang 180 kali ganda, Singapura 170 kali ganda, China lebih 160 kali ganda, dan Indonesia 110 kali ganda. KDNK Sri Lanka hanya mengembang 32 kali ganda dalam tempoh 50 tahun di antara 1970 ke 2020.

“Dari segi KDNK kapita, angka untuk Korea Selatan mengembang lebih 80 kali ganda untuk tempoh 1970 ke 2020, manakala Singapura mengembang sebanyak 50 kali ganda, China 40 kali ganda, dan Indonesia 35 kali ganda.

“KDNK per kapita Malaysia hanya berkembang 25 kali ganda, tetapi Sri Lanka lebih teruk, hanya kira-kira 12 kali ganda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai status Sri Lanka yang bakal diisytiharkan bankrap oleh badan penarafan dunia selepas negara tersebut gagal membuat bayaran kupon ke atas dua bon, malah telah kehabisan wang untuk membeli bahan bakar.

Pada masa sama, Kit Siang juga menyatakan kebimbangannya sama ada Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal, seperti yang berlaku kepada Sri Lanka.

“Kita belum menjadi sebuah negara gagal tetapi adakah kita sedang berada dalam trajektori menjadi sebuah negara gagal dalam tiga atau empat dekad yang akan datang?

“Bolehkah kita belajar daripada kesilapan negara-negara lain yang telah gagal untuk mencapai impian kehebatan mereka seperti Sri Lanka dan Filipina?” Soalnya.

Katanya, protes terhadap kerajaan mungkin tidak akan berlaku dalam masa terdekat, tetapi ia adalah sesuatu yang tidak mustahil.

“Adakah mungkin rumah Perdana Menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?

“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?” Soalnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN