Jutaan penduduk India, Bangladesh terjejas akibat banjir

Jutaan penduduk India, Bangladesh terjejas akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Kira-kira dua juta penduduk terjejas akibat banjir terburuk yang melanda dalam tempoh dua dekad di timur laut Bangladesh.

Banjir yang berpunca akibat hujan lebat itu turut melanda di beberapa bahagian lain di Bangladesh dan India. 

Bencana alam itu mengorbankan 57 orang di kedua-dua negara, setakat petang semalam. 

Ketua Pentadbir Kerajaan wilayah Sylhet, Mosharraf Hossain berkata, sekurang-kurangnya 100 penduduk kampung di Zakiganj, Bangladesh ditenggelamkan air banjir yang deras dari timur laut India sehingga meruntuhkan benteng utama di Sungai Barak.  

Penduduk di kampung itu juga dilihat memancing di kawasan jalan yang ditenggelamkan air banjir dan beberapa penduduk membawa lembu ke tempat perlindungan banjir. 

Pemandu bas, Shamim Ahmed, 50, berkata, rumahnya berada di paras pinggang dan tidak mempunyai air minuman sehingga terpaksa mengharapkan air hujan.  

Banjir turut melanda di kebanyakan kawasan di bandar Sylhet dan seramai 50 keluarga dilaporkan terputus bekalan elektrik. 

Pakar meramalkan banyak bahagian di Bangladesh dan kawasan yang berjiran dengan India berisiko dilanda banjir. 

Bencana tersebut disebabkan oleh perubahan iklim serta peningkatan suhu ekstrem di seluruh dunia. 

Setiap tahap tambahan pemanasan global akan meningkatkan jumlah air di atmosfera sebanyak tujuh peratus yang menyebabkan hujan. 

PUTUS BEKALAN MAKANAN  

Di India, sekurang-sekurangnya 47 orang terbunuh minggu ini akibat banjir, tanah runtuh dan ribut petir. 

Negeri yang bersempadan dengan Bangladesh, Assam, mencatatkan angka kematian 14 orang akibat tanah runtuh dan banjir. 

Pihak berkuasa Assam Sabtu lalu berkata, lebih 850,000 penduduk dari 3,200 kampung dilanda banjir disebabkan hujan lebat yang menenggelamkan tanah ladang dan merosakkan ribuan kediaman. 

Situasi itu menyebabkan hampir 90,000 orang dipindahkan ke pusat perlindungan bantuan kerajaan kerana paras air di sungai semakin tinggi dan tanah besar masih ditenggelamkan banjir di kebanyakan daerah.

Wartawan Al-Jazeera, Pavni Mittal yang berada di tengah Assam berkata, daerah Hojai paling teruk dilanda banjir dan terjejas teruk.

“Paras air sedalam 4.6 meter menyukarkan usaha untuk menyelamatkan orang ramai, mengambil mayat, membawa bantuan serta penduduk kampung yang terkandas tanpa makanan serta keperluan lain selama berhari-hari,” katanya. 

Menurut Mittal, puluhan keluarga yang berteduh di kem pelarian di daerah itu mengharapkan lebih banyak pertolongan daripada pihak kerajaan. 

Seorang penduduk, Rahima Khan berkata, dia bimbang tentang nasib masa depannya dan hidupnya bagaikan tiada harapan lagi. 

“Kami terpaksa tinggalkan lembu dan tidak mempunyai makanan yang mencukupi. 

“Kami masih menunggu bantuan di sini,” luahnya. 

Di timur negeri Bihar, sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh akibat ribut petir, Khamis lalu. 

Bihar turut dilanda gelombang haba sehongga suhu mencecah 40 darjah Celcius. -ALJAZEERA/AFP  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.