JAKARTA: Rakyat menyambut baik keputusan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang menarik balik larangan eksport minyak sawit bermula Isnin depan.
Lapor CNN Indonesia, keputusan itu juga dibuat selepas Jokowi membuat pertimbangan nasib 17 juta rakyat yang berkerja dalam industri minyak sawit baik golongan petani mahupun pekerja.
Persatuan Petani Kelapa Sawit Indonesia (Apkasindo) berterima kasih kepada Jokowi selepas desakan dibuat menerusi siri protes di ibu negara.
Ketua Umum Apkasindo, Gulat Manurung berkata, pekebun kelapa sawit akhirnya dapat mengharungi cabaran walaupun berdepan detik sukar.
“Terima kasih dan salam hormat daripada kami pekebun kelapa sawit kepada Pak Jokowi.
“Meskipun sulit dan berat, kami berjaya melaluinya dan menunjukkan komitmen bernegara,” katanya.
Gabungan Kesatuan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (Gapki) turut menyambut baik langkah Jokowi yang menarik semula larangan eksport minyak masak.
Katanya, keputusan itu akan menjamin kelangsungan indusri minyak sawit nasional.
Ketua Umum Gapki, Joko Supriyono berharap perdagangan minyak sawit dapat kembali pulih baik di dalam negeri mahupun pasaran eksport.
Menurutnya, rakan dagang di Eropah, India dan Pakistan turut mengucapkan terima kasih di atas perkembangan itu.
TINDAKAN TEPAT

Pengarah Eksekutif Pusat Reformasi Ekonomi (CORE) Indonesia, Mohammad Faisal berkata, tindakan Jokowi menarik balik larangan eksport adalah sangat tepat.
Jelasnya, masalah harga minyak masak yang tinggi bukan disebabkan masalah pembekalan tetapi di bahagian pengedaran.
“Dari awal masalahnya adalah dari segi pengagihan. Daripada pengeluar kepada pengguna kerana ada kesesakan, tetapi kerajan kemudian bertindak balas dengan memberikan tumpuan kepada peringkat huluan, seolah-olah bekalan berkurangan.
“Dasar kerajaan yang menumpukan kepada peringkat huluan, sebenarnya menimbulkan banyak masalah seperti harga buah tandan segar dan pendapatan petani merosot.
“Apa yang perlu diselesaikan adalah di peringkat hiliran, iaitu kerajaan perlu jalankan siasatan serta dalam jangka pendek kerajaan boleh mengagihkan minyak masak,” katanya.
SATU KESILAPAN
Pengarah Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-Undang (Celios), Bhima Yudhistira berpandangan, penarikan balik larangan eksport adalah bukti kawalan harga minyak masak melalui dasar ini adalah satu kesilapan yang berbahaya.
Katanya, sehingga kini harga minyak masak khususnya pembungkusan di peringkat masyarakat masih tinggi.
Sebaliknya, pekebun kelapa sawit kurang bernasib baik dengan penurunan harga buah sawit (BTS) berikutan lebihan bekalan minyak sawit mentah (MSM) di negara ini.
Apatah lagi, jelasnya, kehilangan hasil negara lebih enam trilion rupiah (RM1.8 bilion) dan tekanan kepada sektor logistik perkapalan berkaitan aktiviti eksport MSM.
“Matawang rupiah menjadi lemah berbanding dolar Amerika Syarikat sebanyak tiga peratus bulan lalu, dan berpunca akibat larangan eksport sawit.
“Walaupun larangan eksport MSM ditarik balik, harga minyak masak tidak semestinya jatuh dan bekalan akan melimpah ruah.
“Tanpa penambahbaikan dalam pengagihan, harga minyak masak tetap tinggi dan ahli perniagaan akan menggunakan rujukan psaran untuk menentukan harga minyak masak terutamanya yang berpaket,” katanya.

TIGA PENYELESAIAN
Menurut Bhima, terdapat tiga langkah penyelesaian yang perlu dilakukan pihak kerajaan setelah eksport minyak sawit dibuka semula.
Pertama, kerajaan perlu memberi kuasa kepada Agensi Hal Ehwal Logistik (Bulog) untuk mengambil alih sekurang-kurangnya 40 peratus daripada jumlah pengagihan minyak masak.
Beliau menjelaskan mekanisme pasaran gagal mengawal margin yang dinikmati pengedar minyak masak.
“Bulog akan membeli minyak masak daripada pengeluar dengan harga berpatutan dan menjalankan operasi pasaran atau menjual ke pasar tradisional.
“Kedua, kerajaan perlu hapuskan dasar subsidi minyak masak pukal. Ketiga, jika masalahnya adalah sebahagian bekalan bahan mentah domestik, program biodiesel mesti mengalah.
“Sasaran biodiesel mesti segera disemak daripada 10 juta kilo liter kepada tujuh juga kilo liter serta fokus untuk memenuhi permintaan minyak masak,” katanya.










