BEIJING: Pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan dua lagi mangsa dari bangunan runtuh di tengah China.
Mangsa berkenaan ditemukan pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) puluhan lagi penduduk yang dipercayai masih hilang.
Dalam operasi SAR selama lebih 50 jam, mangsa ketujuh berjaya diselamatkan pada petang semalam.
Penyiar CCTV melaporkan individu itu ditemukan selepas pasukan penyelamat mengesan `tanda isyarat tertentu untuk diselamatkan’.
“Apabila wanita itu ditemui, keadaan kesihatannya agak baik sehingga boleh berbual biasa dengan pasukan penyelamat di luar,” kata wartawan CCTV di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa pula berjaya dikeluarkan dari runtuhan bangunan pada awal semalam.
Bangunan yang terletak di bandar Changsha, wilayah Hunan dilaporkan runtuh pada petang Jumaat.
Sabtu lalu, pihak berkuasa memaklumkan lima mangsa berjaya diselamatkan dari bangunan enam tingkat yang runtuh.
Menurut pihak berkuasa, seramai 16 orang dipercayai masih terperangkap manakala 40 lagi gagal dikesan. – AFP