LONDON: Seorang lelaki yang ditahan kerana memiliki lebih sekilogram ganja terlepas hukuman penjara selepas terdapat bukti menunjukkan dia hanya membekalkan bahan terlarang itu kepada pesakit kanser dan kronik.
Lapor Metro, ratusan ‘pelanggan’ Andrew Baines menulis surat kepada mahkamah menjelaskan bagaimana lelaki itu membantu mereka mengurangkan kesakitan akibat penyakit yang dihidapi, selain dia tidak mengaut keuntungan.
Baines, 46, terlepas hukuman penjara selama 15 tahun selepas pendakwa raya berjaya meyakinkan hakim untuk mengenakan hukuman paling ringan untuknya.
Selepas diteliti, mahkamah akhirnya mengenakan hukuman komuniti kepada Baines selama enam bulan.
Mahkamah Majistret Grimsby dimaklumkan mengenai bagaimana Baines menggunakan ganja untuk mengurangkan kesakitannya akibat kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia lumpuh dan menggunakan kerusi roda.
Baines ditahan pada April 2020 selepas petugas di sebuah pejabat pos berasa curiga mengenai bungkusan yang dihantar lelaki tersebut.
Polis kemudiannya menyerbu rumah Baines di Lincoln dan menemukan sekilogram ganja bersama lebih 30 pokok dadah berkenaan.
Bapa seorang penyampai berita di BBC Radio Sheffield merupakan antara pelanggan yang menggunakan ganja dibekalkan Baines bagi mengurangkan kesakitan akibat kanser tekak.
Sejumlah pelanggan Baines yang lain turut mendedahkan lelaki itu tidak pernah meminta bayaran atas bekalan ganja yang diberi.
Sementara itu, Baines memberitahu, dia berasa lega dengan keputusan mahkamah.
“Ganja boleh memberi peluang kepada mereka yang sakit untuk meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama keluarga tersayang dan paling penting, jangan salah guna,” ujarnya.










