AS tempat paling bahaya di dunia - Utusan Malaysia

AS tempat paling bahaya di dunia

SEBAHAGIAN mangsa insiden tembakan di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas, Amerika Syarikat (AS). – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pemimpin dunia mengecam insiden tembakan rambang di sebuah sekolah rendah di Texas, Amerika Syarikat (AS) yang mengakibatkan 19 murid dan dua orang dewasa termasuk guru maut.

Malah, ada pihak turut mempertikaikan sama ada AS mampu mempromosikan negaranya secara efektif untuk diangkat sebagai model global.

Presiden AS, Joe Biden yang lantang memperjuangkan demokrasi sebagai keutamaan penting, dilihat seolah-olah sedar reputasi negaranya terjejas susulan insiden itu.

Biden turut menggesa rakyat Amerika supaya bangkit menentang lobi pemilikan senjata api di negara itu yang mencalarkan imej negara tersebut.

“Apa yang mengejutkan saya adalah insiden tembakan rambang seperti ini jarang berlaku di
tempat lain di dunia,” katanya.

Biden bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam insiden tembakan rambang itu.

Insiden tembakan itu berlaku di Sekolah Rendah Robb di Uvalde, kira-kira 80 kilometer ke barat San Antonio.

Suspek merupakan seorang remaja berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Salvador Ramos.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang bergantung kepada bekalan senjata AS untuk menentang pencerobohan Russia, menyifatkan kejadian tembakan itu sebagai `mengerikan’.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, beliau juga menyuarakan kemarahan bersama individu lain yang berjuang menamatkan keganasan.

Beberapa sekutu negara pula mempersoalkan tindakan AS yang gagal menangani keganasan membabitkan penggunaan senjata api sehingga didakwa meragut kira-kira 111 nyawa sehari.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern pula memaklumkan kerajaannya mengetatkan undang-undang senjata api selepas seorang lelaki kulit putih membunuh 51 orang Islam dalam insiden tembakan di dua masjid di Christchurch pada 2019.

SUKAR DIBAYANGKAN

Seorang menteri yang dilantik dalam kerajaan baharu Australia menzahirkan rasa simpati terhadap keluarga mangsa dan menyifatkan kejadian itu sebagai ‘satu lagi tindakan keganasan senjata api yang tidak masuk akal di AS’.

Bendahari Jim Chalmers berkata, Australia mengharamkan senjata separa automatik selepas insiden tembakan besar-besaran pada tahun 1996.

“Sukar membayangkan kejadian keganasan senjata api dan kekejaman secara besar-besaran masih berlaku di negara hebat seperti AS,” katanya.

China yang berdepan kritikan berterusan dari AS berhubung isu hak asasi manusia dan penindasan terhadap penduduk etnik Uighur, mengecam kegagalan Washington untuk menangani keganasan membabitkan senjata api atau diskriminasi kaum.

Global Times melaporkan kejadian tembakan di Texas secara jelas menunjukkan kegagalan AS yang kini dilihat sebagai ‘tempat paling berbahaya di dunia’.

SEMPAT HANTAR MESEJ SEBELUM SERANGAN

Sementara itu, Gabenor Texas, Greg Abbott berkata, suspek pembunuhan beramai-ramai di Sekolah Rendah Robb sempat berkongsi rancangan jahatnya di Facebook beberapa minit sebelum melepaskan tembakan.

Menurut Abbott, mesej dalam talian itu merupakan satu-satunya amaran awal.

Katanya, Ramos yang merupakan pelajar tercicir dari sekolah menengah, tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun sejarah masalah kesihatan mental.

TIDAK BERSIFAT GANAS

Ibu kepada suspek insiden tembakan di Texas, Adriana Reyes mendakwa anaknya bukan seorang yang bersifat ganas.

Katanya, dia terkejut mendapat tahu Ramos melepaskan tembakan rambang di Sekolah Rendah Robb yang menempatkan murid gred dua hingga empat.

Reyes mengaku anaknya kerap menyendiri, jarang bergaul dan tidak mempunyai ramai kawan.

Bagaimanapun, Reyes menolak dakwaan dia mempunyai hubungan toksik dengan anaknya. – AFP/REUTERS/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya