ACEH: Seramai 125 pelarian Rohingya yang berada di Aceh dipindahkan ke Pekanbaru, Riau sejak 17 Mei lalu.
Penyelaras Program Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sonya Syafitri berkata, proses pemindahan tersebut melibatkan tiga peringkat iaitu 57 orang bagi fasa pertama, 44 orang (fasa kedua) dan 24 (fasa terakhir).
Jelasnya, proses pemindahan itu menggunakan jalan darat dari Bireuen dan Lhokseumawe, Aceh ke Medan, Sumatera Utara, serta menerusi pesawat ke Pekanbaru.
“Ini bermakna semua pelarian Rohingya di Aceh sudah dipindahkan sepenuhnya ke pusat perlindungan di Pekanbaru.
“Proses pemindahan berjalan lancar tanpa sebarang masalah sekali gus menunjukkan tiada lagi pelarian Rohingya di Aceh,” katanya lapor Kompas.com.
Sonya berkata, pihaknya berterima kasih dengan Kerajaan Lhokseumawe dan Agensi Kerajaan Bireuen semasa pelarian tersebut ditempatkan sementara di wilayah itu.
Sebelum ini, ratusan pelarian Rohingya melibatkan orang dewasa dan kanak-kanak dilaporkan terkandas di perairan Aceh.
Kebanyakan mereka melarikan diri dari kem pelarian di Myanmar dan berhasrat menuju ke Malaysia.










