KYIV: Sekurang-kurangnya 17 orang maut selepas sebuah bas bertembung dengan lori tangki minyak di barat Ukraine, kata pihak berkuasa.
Nahas itu menambah lagi kesengsaraan di Ukraine yang ketika ini dilanda peperangan.
Presiden Volodymyr Zelensky dalam perutusan hariannya memaklumkan nahas jalan raya itu berlaku di wilayah barat Rivne.
“Sebuah bas, kereta dan lori tangki minyak bertembung. Setakat ini, 17 orang maut dan mungkin ada lebih ramai mangsa lagi,” katanya.
Zelensky turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Nahas itu tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan peperangan antara Russia dengan Ukraine.
Malah, Zelensky juga tidak menyebut sebarang kaitan itu dalam ucapannya.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, Russia menumpukan serangannya di selatan serta timur Ukraine serta kadang kala melancarkan serangan di wilayah barat. – AFP