BEIJING: Tidak mahu menerima nasib yang sama seperti penduduk di Shanghai, orang ramai mula memenuhi pasar raya di Beijing bagi membuat pembelian barangan keperluan.
Shanghai sudah pun dikenakan perintah berkurung sejak beberapa minggu lalu dengan sebanyak 51 kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan semalam.
Perintah berkurung yang dilaksanakan menyaksikan bekalan makanan sukar disalurkan kepada penduduk di rumah masing-masing dan keadaan itu mencetuskan kemarahan serta ‘situasi terdesak’ kepada penduduk di bandar raya tersebut.
Selain itu, daerah Chaoyang di pinggir Beijing turut melaksanakan ujian Covid-19 besar-besaran melibatkan 3.5 juta penduduk bagi mengekang penularan.
Seorang penduduk, Yao Leiming berkata, jika terdapat satu kes jangkitan di kesan Beijing, seluruh bandar ini akan menjadi seperti Shanghai.
“Kami tidak mahu menjadi seperti penduduk di Shanghai yang berdepan bekalan makanan tidak mencukupi, dikenakan sekatan yang ketat dan semuanya serba tidak kena,” katanya.
Sejak Ahad lalu, banyak pasar raya dipenuhi orang ramai yang membuat pembelian panik.
Tinjauan AFP mendapati, banyak rak makanan kosong di kebanyakan pasar raya, selain slot penghantaran barang menggunakan aplikasi juga sudah habis ditempah, terutamanya ke Chaoyang.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa Beijing juga mengambil pendekatan mengawal ketat kemasukan ke bandar ini.
Pengembara yang ingin memasuki Beijing perlu menunjukkan bukti negatif Covid-19 dalam tempoh 48 jam.
Polisi sifar Covid-19 yang dilaksanakan China dilihat tidak berkesan, malah menjejaskan banyak penduduknya, selain ekonomi negara ini terkesan akibat perintah berkurung yang dilakukan.
Namun, pihak berkuasa China mendakwa polisi itu berjaya mengawal penularan Covid-19 di negara ini berbanding keadaan di negara lain, terutamanya Eropah dan Barat. – AFP