Syarat kesihatan kelirukan penumpang kapal terbang

Syarat kesihatan kelirukan penumpang kapal terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Pemulihan sektor penerbangan global dari pandemik Covid-19 boleh terganggu disebabkan oleh syarat kesihatan yang mengelirukan dan kebimbangan sektor tersebut tidak bersedia menghadapi krisis kesihatan awam lain.

Dapatan itu diperoleh hasil tinjauan oleh YouGov yang dijalankan di Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali dan negara-negara Asia Barat seperti Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.

Tinjauan dilakukan menjelang Forum Penerbangan Masa Depan iaitu sebuah sidang kemuncak penerbangan global yang akan berlangsung di Riyadh, 9 hingga 11 Mei depan.

Forum dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) di bawah naungan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz.

Walaupun hasil keputusannya berbeza antara negara, kajian ini mendedahkan kekeliruan yang meluas terhadap pelbagai syarat kesihatan sedia ada untuk perjalanan udara.

Sekitar satu pertiga penumpang di setiap negara mengatakan kurang jelas terhadap syarat kesihatan yang menghalang mereka daripada menaiki penerbangan tahun lalu.

Masalah itu dilihat akan terus menjadi penghalang kepada mereka menaiki penerbangan tahun ini.

Menteri Pengangkutan dan Logistik Arab Saudi, Saleh Nasser Al-Jasser berkata, setiap negara perlu bekerjasama dalam menyelaraskan syarat kesihatan kepada penumpang.

“Sektor penerbangan global perlu membuat pemulihan sepenuhnya dengan cepat.

“Adalah penting meningkatkan kejelasan tentang syarat semasa dan membina keyakinan terhadap keupayaan sektor ini untuk menangani krisis kesihatan awam pada masa akan datang,” katanya.

Forum tersebut akan menghimpunkan pemimpin daripada sektor awam dan korporat bagi membentuk evolusi perjalanan udara antarabangsa dan mendorong kemajuan penyelesaian dalam dunia pasca pandemik.

Ia akan menampilkan lebih 120 penceramah serta dihadiri lebih 2,000 tetamu dan perwakilan dari setiap negara.

Sebanyak 40 sesi perbincangan yang akan memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pengalaman penumpang, kelestarian dan pemulihan perniagaan pasca Covid-19.

Presiden Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Arab Saudi, Abdulaziz Al-Duailej, berkata, GACA sedang berunding dengan pihak berkepentingan untuk membangunkan sebuah dasar yang dapat menangani krisis kesihatan masa hadapan.

“Covid-19 telah memberi kesan buruk kepada trafik udara dan perjalanan penumpang di seluruh dunia serta memberi kesan buruk kepada prospek pertumbuhan untuk sektor penerbangan global.

“Kita perlu mencari kaedah menyelaraskan protokol maklumat kesihatan, meningkatkan perkongsian maklumat dan ketelusan di antara negara, melindungi keselamatan serta memulihkan keyakinan penumpang,” katanya.-AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya