Bursa Malaysia dijangka terus momentum pemulihan

Bursa Malaysia dijangka terus momentum pemulihan

FBM KLCI dijangka mengukuh dalam julat sasaran 1,710 hingga 1,715 mata pada minggu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum pemulihannya pada minggu ini, dirangsang oleh peningkatan selera risiko pelabur serta penilaian harga saham mewah (blue-chip) tempatan yang kekal menarik.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diramal mempunyai potensi besar untuk melanjutkan rali pengukuhannya, sekali gus memadamkan prestasi hambar yang dicatatkan sepanjang bulan Mei lalu.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn. Bhd., Mohd. Sedek Jantan berkata, kebangkitan semula FBM KLCI dalam tempoh dua sesi dagangan terakhir minggu lalu memberi isyarat jelas bahawa sentimen pasaran jangka pendek kini mula stabil.

“Susulan kelemahan berterusan yang direkodkan pada bulan Mei, lantunan semula indeks pada penghujung minggu lalu menunjukkan pasaran sedang membina tapak yang kukuh. 

“Kami percaya pemulihan ini berpotensi berlanjutan ke minggu ini, disokong oleh selera risiko yang semakin baik dan penilaian menarik dalam kalangan saham komponen mewah terpilih di Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, peralihan trend pelaburan global juga dijangka memberi kelebihan kepada bursa tempatan apabila keghairahan terhadap rali berkaitan kecerdasan buatan (AI) di pasaran global kini mula mereda.

Jelas Mohd. Sedek, situasi itu bakal menyaksikan pelabur mula beralih kepada sektor defensif serta saham modal pasaran besar yang masih berada di bawah nilai sebenar di luar pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Peralihan pegangan ini boleh memberikan sokongan tambahan kepada FBM KLCI. Kami melihat indeks berpotensi untuk menguji semula paras 1,700 mata dan seterusnya mengukuh dalam julat sasaran 1,710 hingga 1,715 mata pada minggu ini,” katanya.

Mengulas mengenai aliran dana asing, beliau menjelaskan terdapat ruang yang luas untuk pelabur asing kembali memasuki pasaran saham tempatan selepas mencatatkan jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut sebelum ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa data makroekonomi AS yang lebih kukuh akan terus menyokong sentimen risiko global, namun penilaian ekuiti AS yang sudah terlalu tinggi akan mendorong pengurus dana global mencari peluang di pasaran sedang membangun.

“Pengurus aset global kini sedang mencari pasaran yang menawarkan penilaian harga yang jauh lebih menarik dan kompetitif. Dalam hal ini, Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk mendapat manfaat langsung daripada pengagihan semula aliran modal asing tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Faisol Ibrahim berkata, momentum pemulihan bursa tempatan pada minggu ini akan turut dipengaruhi oleh kesediaan pelabur runcit tempatan untuk kembali aktif memeriahkan pasaran ekuiti seiring dengan kemasukan semula dana institusi.

Menurut beliau, pasaran saham tempatan kini berada pada fasa penilaian yang sihat, di mana risiko penurunan mendadak adalah terhad berikutan asas ekonomi domestik yang kekal utuh.

“Pelabur dinasihatkan untuk tidak terlalu agresif sebaliknya menumpukan perhatian kepada kaunter-kaunter yang mempunyai aliran tunai yang kuat serta syarikat yang mencatatkan prestasi suku tahunan yang konsisten.

“Langkah berhati-hati ini penting bagi mendepani sebarang kejutan luar jangka daripada pasaran global, namun secara keseluruhannya kita boleh menjangkakan prestasi yang lebih positif untuk minggu ini,” jelasnya.

Tambahnya, arah tuju Bursa Malaysia bagi minggu ini akan dipandu oleh konsistensi kemasukan semula dana asing serta minat belian berterusan terhadap kaunter berwajaran tinggi, ketika pasaran cuba membina momentum di atas paras psikologi 1,710 mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN