Serangan roket: Zionis tutup laluan dari Gaza, sekat ekonomi

Serangan roket: Zionis tutup laluan dari Gaza, sekat ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel bertindak menutup satu-satunya laluan dari Semenanjung Gaza ke Israel, terutamanya kepada golongan pekerja bermula semalam, sebagai tindak balas terhadap serangan roket dari Palestin. 

Unit Khas Kementerian Pertahanan Israel, Cogat berkata, pihaknya memutuskan untuk menutup laluan ke Israel kepada golongan pekerja dari Gaza melalui Lintasan Erez. 

“Pembukaan semula lintasan akan diputuskan mengikut penilaian situasi keselamatan,” katanya dalam kenyataan. 

Serangan roket pada malam Jumaat dan pagi Sabtu lalu, berikutan pertempuran selama berhari-hari di pekarangan Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan insiden kematian.

Sebanyak dua roket dilancarkan dari Gaza ke selatan Israel malam Jumaat lalu, dan satu daripadanya mengenai kawasan perumahan di utara Gaza. 

Roket ketiga pula dilancarkan ke Israel pagi Sabtu lalu, namun tiada sebarang siren amaran diaktifkan. 

Serangan balas itu susulan roket yang dilancarkan Rabu dan Khamis lalu, selepas polis Israel bertempur dengan rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan parah dan lebih 200 yang lain cedera.  

Israel membalas dengan serangan udara, namun dilihat enggan meneruskan siri keganasan selanjutnya kerana bertindak balas dengan sekatan ekonomi.  

Jumaat lalu, Palang Merah Palestin berkata, seramai 57 orang mengalami kecederaan selepas polis Israel melepaskan bahan letupan ke pekarangan Kota Lama Baitulmuqaddis itu.

Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci buat umat Islam dan penganut Yahudi juga menganggapnya sebagai tempat suci mereka. 

Berdasarkan konvensyen lama, golongan Yahudi hanya dibenarkan melawat dalam keadaan tertentu, tetapi tidak dibenarkan beribadah di sana. 

 

PBB MASUK CAMPUR

Pergolakan yang semakin memuncak menimbulkan kebimbangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut siasatan terhadap tindakan polis Israel.  

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengadakan perbincangan berhubung ketegangan berterusan di pekarangan Baitulmuqaddis menerusi panggilan berasingan bersama Perdana Menteri Israel dan Presiden Palestin, Sabtu lalu.

Selepas panggilan tersebut, PBB dalam kenyataan berkata, Guterres membincangkan usaha untuk meredakan ketegangan, menamatkan provokasi dan langkah unilateral. 

Tegasnya, status quo tapak suci itu mesti ditegakkan dan dihormati semua pihak.

 

DUNIA BERSUARA

Sementara itu, komuniti antarabangsa juga ‘tidak jemu’ mengutuk dan mendesak Zionis supaya menghentikan kekerasan serta penindasan terhadap rakyat Palestin.

Lapor PressTV, menerusi beberapa protes yang dijalan di seluruh dunia, masyarakat menyuarakan bantahan mereka terhadap rejim Zionis.

Demonstrasi bantahan itu diadakan di Pakistan, Jordan, Bangladesh, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

Peserta tunjuk perasaan melaungkan slogan solidariti sebagai sokongan buat rakyat Palestin. – AFP  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN