MOSCOW: Tindakan pihak berkuasa Zionis yang menyerbu Masjid al-Aqsa kelmarin sehingga mencetuskan rusuhan dengan penduduk Palestin dikutuk sekeras-kerasnya oleh penduduk Islam di beberapa negara.
Menerusi protes, penduduk Islam menolak tindakan Israel yang disifatkan ‘sengaja mencetuskan konflik setiap kali tibanya Ramadan’.
Lapor PressTV, serbuan dan rusuhan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 158 penduduk Palestin cedera akibat terkena tembakan peluru getah yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan Zionis.
Antara negara yang lantang bersuara menentang penindasan Israel di bumi Palestin termasuk Rusia.
Biarpun peperangan negara itu dengan Ukraine belum berakhir, Moscow tetap menyuarakan bantahan mengenai kekerasan Zionis terhadap penduduk Palestin.
Kementerian Luar Rusia menyifatkan rejim Zionis sudah pun menjadikan Palestin seperti ‘penjara di bawah langit terbuka’.
“Kita semua tahu dan sedar apa yang dilakukan Israel terhadap Palestin adalah salah, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengetahui perkara tersebut.
“Namun, disebabkan tiada tindakan konkrit diambil, Zionis terus menindas Palestin dan rakyatnya tanpa sedikit pun belas kasihan.
“Semenanjung Gaza kini boleh diibaratkan seperti ‘penjara terbuka’ untuk rakyat Palestin,” menurut kementerian itu menerusi kenyataan.
Moscow menegaskan, keberanian dan kekebalan yang dimiliki oleh Israel ketika ini adalah disebabkan oleh sokongan negara Barat, terutamanya Amerika Syarikat (AS).
TURKI
Di Istanbul, penunjuk perasaan berkumpul di luar konsulat Israel sejak awal pagi semalam sambil mengibarkan bendera Palestin dan mendesak negara Arab supaya menyokong Palestin.
“Kita hidup dalam era yang kita boleh saksikan bagaimana Zionis menindas Palestin secara habis-habisan tanpa memberi sedikit ruang kepada mereka untuk menikmati kehidupan merdeka.
“Kiblat orang Islam (Masjid al-Aqsa) dicemari setiap hari dengan serbuan kotor Israel dan penjajah Yahudi.
“Maruah umat Islam, bukan sahaja di Palestin sedang dipijak-pijak oleh pihak jahil di seluruh dunia,” ujar jurucakap Persatuan Belia Anatolia, Mehmet Yaroglu dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menggesa komuniti antarabangsa bersuara dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan umat Islam terus ditindas, terutamanya di bumi Palestin.
Dalam pada itu, pakar politik Hamas yang berpangkalan di Turki, Talal Nassar menegaskan Palestin sesekali tidak akan tunduk kepada Zionis walaupun sehingga kiamat.
JORDAN
Ratusan penunjuk perasaan berhimpun dan berarak membantah serbuan Zionis di al-Aqsa di Amman sebagai solidariti buat rakyat Palestin.
Peserta penunjuk perasaan melaungkan slogan ‘Tiada Zionisme di bumi Jordan’ dan ‘Rakyat Jordan menentang normalisasi dengan Zionis’.
Penduduk Jordan secara lantang menentang tindakan Zionis yang melepaskan peluru getah terhadap rakyat Palestin yang beribadah di al-Aqsa.
IRAQ
Kementerian Luar Iraq dan sejumlah kumpulan antikeganasan juga membantah tindakan Zionis di Baitulmuqaddis.
“Iraq sama sekali tidak dapat menerima keganasan dan kekerasan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
“Sila hormati Ramadan dan al-Aqsa. Kami akan sentiasa menyokong rakyat Palestin kerana tanah itu akan sentiasa menjadi milik mereka,” menurut kenyataan kementerian berkenaan.
Selain itu, Setiausaha Agung Pergerakan Antikeganasan Asa’ib Ahl al-Haq, Qais Khazali memaklumkan pasukannya sentiasa bersedia untuk mengambil sebarang tindakan sekiranya Zionis terus melakukan kekerasan.
ALGERIA
Menerusi kenyataan, Kementerian Luar Algeria menggesa supaya perlindungan penuh perlu diberikan kepada semua rakyat Palestin yang beribadat di al-Aqsa, selain mereka juga tidak perlu dilarang memasuki masjid tersebut.
“Mana PBB? Apa yang mereka lakukan? Semua pihak perlu memastikan hak setiap umat Islam, terutamanya di Palestin dijamin, sama seperti hak komuniti lain di seluruh dunia.
“Mereka (rakyat Palestin) hanya ingin beribadat di al-Aqsa, namun kenapa mereka perlu dihalang menggunakan kekerasan?” menurut kenyataan tersebut.