PARIS: Pusingan kedua Pilihan Raya Presiden 2022 berlangsung hari ini dan persoalan bakal terjawab sama ada rakyat cenderung memilih penyandang jawatan itu, Emmanuel Macron atau ahli politik sayap kanan, Marine Le pen.
Macron dilaporkan berada di kedudukan selesa untuk memenangi pemilihan semula Presiden negara itu.
Bagaimanapun, kedudukannya boleh tergugat sekiranya golongan pengundi memutuskan untuk tidak keluar mengundi.
Kemenangan Macron boleh memberi kesan meluas terhadap hala tuju masa depan Eropah dan usaha Barat untuk menghentikan perang di Ukraine.
Sekiranya menang, Macron akan menjadi Presiden Perancis pertama dalam tempoh 20 tahun yang memenangi penggal kedua pentadbiran.
Semua tinjauan pendapat sejak beberapa hari kebelakangan ini tertumpu ke arah kemenangan penyokong proEropah berusia 44 tahun itu.
Tinjauan juga meramalkan bilangan individu yang keluar mengundi akan mencatatkan rekod yang tinggi sama ada membuang undi kosong atau tidak mengundi langsung.
Dua minggu lalu, pusingan pertama pilihan raya itu menyaksikan Macron dan Le Pen memperoleh undian terbanyak berbanding calon lain.
Macron mendapat 28.2 peratus undi, manakala, Le pen meraih 23.4 peratus.
Dalam kempennya sebelum ini, Macron berikrar untuk melaksanakan dasar kemajuan, keterbukaan dan memperjuangkan kemerdekaan Perancis dan Eropah.
Rabu lalu, Macron dan Le Pen bersiap sedia untuk pecutan saat akhir berkempen menerusi perdebatan ‘panas’ yang berlangsung selama tiga jam.
Kedua-dua pemimpin itu bertelagah mengenai hubugan dengan Russia dan pemakaian tudung oleh orang Islam.
Debat umpama ‘perlawanan tinju’ itu menyaksikan Macron berkali-kali mahu melepaskan ‘tumbukan’ terhadap Le Pen berhubung reputasi pemimpin wanita itu.-AP









