PARIS: Individu yang sudah lengkap vaksin Covid-19 dan mendapat suntikan dos penggalak dilaporkan boleh pulih daripada jangkitan varian Omicron tiga hari lebih awal berbanding Delta.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet, individu yang dijangkiti Omicron berkemungkinan kurang menghadapi masalah hilang deria bau.
Bagi mengenal pasti perbezaan bagaimana gejala Omicron dan Delta terhadap individu yang dijangkiti, pasukan penyelidik menggunakan aplikasi telefon pintar percuma yang dinamakan ZOE.
Aplikasi itu merekodkan data lebih 63,000 penduduk Britain berusia antara 16 hingga 99 tahun yang sudah menerima vaksin Covid-19 dan dijangkiti virus maut itu antara Jun 2021 dan Januari 2022.
Bagi mereka yang sudah lengkap vaksinasi berserta dos penggalak, gejala Omicron boleh pulih dalam tempoh 4.4 hari berbanding 7.7 hari bagi Delta, iaitu perbezaan sebanyak 3.3 hari.
Bagi golongan yang sudah lengkap vaksinasi tetapi tidak menerima dos penggalak, gejala Omicron akan pulih dalam masa 8.3 hari, berbanding 9.6 hari untuk Delta.
Kajian itu turut mencadangkan proses pemulihan yang lebih cepat secara tidak langsung menunjukkan tempoh jangkitan mungkin lebih pendek.
Kajian itu yang akan dibentangkan di Kongres Mikrobiologi Klinikal dan Penyakit Berjangkit Eropah di Lisbon pada akhir bulan ini turut mendapati hanya 17 peratus individu yang dijangkiti Omicron kehilangan deria rasa berbanding 53 peratus untuk Delta.
Namun, golongan dijangkiti Omicron mempunyai 55 peratus risiko untuk mengalami sakit tekak dan 24 peratus menyebabkan suara serak.
Selain itu, kajian berkenaan menunjukkan sebanyak 25 peratus pesakit Omicron mungkin dimasukkan ke hospital.
Ketua penyelidik, Cristina Menni dari Kolej King London menyatakan, biarpun kajian itu merangkumi tempoh sebelum kemunculan sub varian Omicron, data terkini daripada aplikasi menunjukkan tiada perubahan dalam gejala BA.2 berbanding BA.1. – AFP