ISLAMABAD: Mahkamah Agung Pakistan dijangka memutuskan nasib Perdana Menteri Imran Khan berikutan kemelut politik yang berlaku ketika ini.
Lapor BBC, Imran berdepan cubaan pembangkang untuk menyingkirkannya daripada jawatan tertinggi itu.
Namun, ahli parti pimpinannya menyekat usul undi tidak percaya terhadapnya dan membubarkan Parlimen.
Imran mendakwa usul undi tidak percaya terhadap beliau merupakan sebahagian konspirasi diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya.
Bagaimanapun, AS menafikan dakwaan tersebut.
Beberapa ahli politik pembangkang memfailkan petisyen di Mahkamah Agung untuk memutuskan sama ada tindakan menyekat usul undi tidak percaya berlandaskan Perlembagaan negara.
Mahkamah dijangka membuat keputusan pada lewat hari ini.
Semalam, Presiden Pakistan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan untuk pilihan raya umum diadakan di negara itu.
Pembubaran itu dilakukan atas nasihat Imran sekali gus menggagalkan usaha pembangkang untuk menyingkirkan pemimpin tersebut daripada jawatan tertinggi itu.
Langkah itu diambil selepas Timbalan Speaker Parlimen menolak usul undi tidak percaya terhadap Imran dengan menyifatkannya sebagai `tidak berperlembagaan’.
Imran dalam satu ucapan disiarkan di televisyen semalam menggesa Parlimen dibubarkan dengan segera memandangkan terdapat campur tangan yang `tidak boleh diterima’ dalam institusi demokrasi Pakistan.