Negara Baltik henti import gas Rusia - Utusan Malaysia

Negara Baltik henti import gas Rusia

TEMPAT penyimpanan gas bawah tanah di Latvia. - LAMAN SESAWANG SKULTE LNG TERMINAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIGA: Ketua pengendali penyimpanan gas asli Latvia memaklumkan negara-negara Baltik kini tidak lagi mengimport gas asli Rusia.

Ketua Pegawai Eksekutif Conexus Baltic Grid, Uldis Bariss berkata, pengimportan gas asli Rusia dihentikan ke Latvia, Estonia dan Lithuania sejak 1 April lalu.

“Jika masih terdapat sebarang keraguan mengenai kepercayaan dalam penghantaran dari Rusia, situasi semasa secara jelas menunjukkan bahawa tiada lagi kepercayaan tersebut,” katanya dalam satu temubual radio Latvia.

Menurut beliau, pasaran Baltik ketika ini menggunakan rizab gas yang disimpan di bawah tanah di Latvia.

Tindakan itu diambil ketika Presiden Vladimir Putin berusaha memanfaatkan status Rusia sebagai kuasa tenaga.

Ketika ekonomi Rusia semakin lumpuh akibat sekatan antarabangsa dikenakan, Putin memberi amaran kepada anggota Kesatuan Eropah (EU) untuk menyediakan akaun mata wang ruble untuk membayar penghantaran gas.

Tegas pemimpin itu, kontrak sedia ada akan dihentikan  sekiranya pembayaran demikian tidak dilakukan.

Meskipun Amerika Syarikat (AS) melarang import minyak dan gas Rusia, EU, yang menerima kira-kira 40 peratus bekalan gasnya dari Rusia pada 2021, terus mengekalkan penghantaran dari Moscow.

Sementara itu, Presiden Lithuania, Gitanas Nauseda menggesa negara EU untuk mengikut langkah Baltik.

“Mulai bulan ini, tiada lagi gas Rusia di Lithuania. 

“Beberapa tahun lalu, negara saya mengambil keputusan yang membenarkan kita hari ini tanpa gentar untuk memutuskan hubungan tenaga dengan penceroboh.

“Jika kami boleh melakukannya maka seluruh Eropah juga boleh berbuat demikian,” katanya menerusi ciapan di Twitter. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN