ADEN: Presiden Yaman, Abd-Rabbu Mansour Hadi memecat Naib Presidennya, Ali Mohsen al-Ahmar dan menyerahkan kuasa kepada Majlis Presiden yang akan menjalankan tugasnya.
Kementerian Penerangan Yaman dalam satu kenyataan memaklumkan, badan baharu itu akan memikul tugas presiden dan naib presiden.
“Majlis baharu itu bertanggungjawab menguruskan isu politik, ketenteraan dan keselamatan untuk kerajaan Yaman dalam tempoh peralihan.
“Langkah ini seiring dengan inisiatif peralihan kuasa 2011 yang dirangka oleh enam anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) berikutan protes antikerajaan dan pergolakan politik di Yaman.
“Dengan pengisytiharan ini, Majlis Presiden akan ditubuhkan untuk melancarkan semua tugas sepanjang tempoh peraihan,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu juga memaklumkan, Majlis Presiden yang dianggotai seorang pengerusi dan tujuh timbalan pengerusi itu akan diketuai oleh Rashad al-Alimi, iaitu seorang pegawai keselamatan yang juga bekas Menteri Dalam Negeri semasa pentadbiran bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh. – REUTERS