Nagaenthran menangis panggil ibu buat kali terakhir

Nagaenthran menangis panggil ibu buat kali terakhir

PELBAGAI pihak mendesak hukuman gantung terhadap mendiang Nagaenthran digugurkan sebelum mahkamah menolak semua rayuan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Perjuangan pelbagai kumpulan hak asasi manusia, sama ada dari dalam dan luar negara bagi membebaskan Nagaenthran Dharmalingam sudah berakhir apabila dia menjalani hukuman gantung di penjara, di sini pagi semalam.

Pelaksanaan hukuman itu dimaklumkan oleh adiknya, Navin Kumar, 22, menerusi telefon dan memberitahu mayat abangnya dibawa balik ke Malaysia untuk dikebumikan di Ipoh.

Nagaenthran dikenakan hukuman gantung sejak lebih sedekad lalu bagi kesalahan menyeludup dadah jenis heroin seberat 42.7 gram ke republik ini.

Singapura merupakan satu daripada negara yang mengenakan hukuman berat terhadap pesalah dadah di dunia menerusi Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, yang memperuntukkan hukuman mati terhadap mana-mana individu yang didapati menyeludup dadah melebihi 15 gram.

Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 ketika berusia 21 tahun di Pusat Pemeriksaan Woodland ketika melintasi sempadan Malaysia-Singapura.

Hasil pemeriksaan, dadah itu ditemukan dilekatkan pada paha kirinya.

 

LIPUTAN MELUAS

Kes Nagaenthran mendapat liputan meluas daripada pelbagai pihak, termasuk komuniti antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Amnesty International, Human Rights Watch dan bilionair Britain, Richard Branson.

Hal ini kerana, ramai beranggapan tidak wajar Singapura mengenakan hukuman tersebut kerana mendiang merupakan individu kelainan upaya (OKU) dengan masalah ketidakupayaan mental.

Sejak ditahan, pelbagai pihak tampil mendesak kerajaan Singapura untuk membebaskan Nagaenthran.

Desakan itu semakin meluas, selain banyak protes dan demonstrasi diadakan oleh pelbagai kumpulan aktivis selepas mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman mati terhadap Nagaenthran.

Setiap kali perbicaraan berlangsung, butirannya akan menjadi tumpuan media di kedua-dua negara.

Malahan, sehari sebelum dihukum gantung, ibu Nagaenthran terus mencabar keputusan mahkamah, namun usahanya sia-sia kerana Singapura berpendapat pesalah dadah perlu dihukum sewajarnya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengutus surat kepada rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bagi meringankan hukuman terhadap Nagaenthran serta menangguhkan hukuman itu dan mengemukakan permohonan baharu Pengampunan Presiden Singapura.

Tindakan itu juga diikuti kiriman surat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan pengampunan, namun Presiden Singapura, Halimah Yacob memberitahu bahawa Nagaenthran telah melalui proses undang-undang yang sewajarnya.

Nagaenthran sepatutnya dihukum gantung pada 10 November 2021, namun Mahkamah Tinggi Singapura membenarkan penangguhan dalam pelaksanaan hukuman mati, sementara menunggu pendengaran rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada Isnin lalu, lebih 300 orang ramai menyalakan lilin di sebuah taman di sini sebagai protes hukuman yang bakal dilaksanakan.

 

PANGGIL IBU KALI TERAKHIR

Kelmarin merupakan perbicaraan terakhir buat Nagaenthran dan selepas keputusan dimuktamadkan, keluarganya dilihat menangis dan saling berpelukan antara satu sama lain.

Di sebalik skrin kaca yang memisahkan Nagaenthran dengan keluarganya di dalam bilik perbicaraan, dapat didengari suaranya menangis memanggil ibunya.

Situasi hiba itu turut ditangisi audien lain di dalam bilik perbicaraan.

IBU mendiang Nagaenthran Dharmalingam, Panchalai Supermaiam tiba di Mahkamah Tinggi Singapura kelmarin sebelum hukuman gantung dilaksanakan. – AFP

 

ALASAN OKU ‘TIDAK LAKU’

Pengesahan oleh pakar perubatan bahawa Nagaenthran mempunyai ketidakupayaan mental dengan tahap kecerdasan 69 tidak cukup untuk menyelamatkannya dari tali gantung.

Malah, mahkamah Singapura menegaskan lelaki itu menyedari jenayah yang dilakukannya dan memutuskan tiada bukti kukuh menunjukkan kesihatan mentalnya merosot.

 

LAGI HUKUMAN GANTUNG

Sementara itu, Singapura juga bakal melaksanakan satu lagi hukuman gantung terhadap seorang rakyat Malaysia bagi kesalahan serupa.

Datchinamurthy Kataiah bakal menjalani hukuman tersebut pada Jumaat ini.

Pada 30 Mac lalu, seorang lagi rakyat Malaysia, Abdul Kahar Othman digantung kerana melakukan kesalahan dadah, sekali gus menjadi individu pertama yang dihukum mati oleh republik ini dalam tempoh dua tahun. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya