fbpx

Menjelang Aidilfitri, 99 peratus rakyat Indonesia ada antibodi Covid-19

PEMBENTUKAN antibodi Covid-19 dalam kalangan penduduk Indonesia disumbangkan oleh program vaksinasi meluas. - AFP

JAKARTA: Hampir kesemua penduduk di kepulauan Jawa sudah mempunyai antibodi menentang Covid-19, hasil daripada program vaksinasi dan juga kadar jangkitan tinggi sebelum ini.

Berdasarkan kajian yang dilakukan pihak berkuasa kesihatan Indonesia pada Mac lalu melibatkan 2,100 koresponden, hampir 99.2 peratus daripadanya mempunyai antibodi Covid-19, iaitu peningkatan enam peratus daripada kaji selidik yang dilakukann pada Disember tahun lalu.

Pakar epidemiologi di Universiti Indonesia, Pandu Riono yang melakukan kaji selidik itu bersama Kementerian Kesihatan memberitahu Reuters, tahap antibodi penduduk dalam kaji selidik kali ini lebih tinggi berikutan pemberian suntikan dos penggalak.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini menurun mendadak sejak kemuncak direkodkan pada Februari lalu berikutan penularan varian Omicron.

Kira-kira 60 peratus daripada 270 juta penduduk negara ini sudah menerima vaksinasi Covid-19.

Jelas Pandu, tahap antibodi yang kuat secara tidak langsung menunjukkan kadar jangkitan menurun dengan cepat di Indonesia.

Menerusi kaji selidik yang dilakukan terhadap 22,000 penduduk pada Disember lalu, sebanyak 86 peratus rakyat negara ini sudah mempunyai antibodi Covid-19.

Sejak beberapa minggu lalu, Indonesia mula melonggarkan sebahagian daripada sekatan pandemik, termasuk menarik balik peraturan kuarantin kepada pengembara antarabangsa.

Selain itu, penduduk juga dibenarkan pulang beraya ke kampung untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini selepas dua tahun ditangguhkan.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN