GAZA: Kerajaan Israel membuka semula Lintasan Erez kepada pekerja Palestin yang memasuki negara itu, selepas tiada lagi serangan roket dari Gaza.
Laluan tersebut merupakan satu-satunya lintasan dari Gaza ke negara itu bagi golongan pekerja selepas ditutup dua hari lalu.
Unit Khas Kementerian Pertahanan Israel, Cogat memaklumkan pembukaan semula laluan tersebut selepas penilaian keselamatan semasa dilakukan.
“Keputusan sudah dibuat untuk membenarkan golongan pekerja dan peniaga memasuki Israel semula dari Gaza melalui Lintasan Erez.
“Membuka lintasan itu adalah bergantung kepada kestabilan keselamatan di kawasan itu,” katanya dalam kenyataan.
Difahamkan, Lintasan Erez tersebut digunakan oleh kira-kira 12,000 rakyat Palestin yang memasuki Israel menggunakan permit bekerja.
Sebelum itu, serangan roket pada malam Jumaat dan pagi Sabtu lalu dilancarkan berikutan pertempuran selama berhari-hari antara rakyat Palestin dengan polis Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan insiden kematian.
Sebanyak dua roket dilancarkan dari Gaza ke selatan Israel malam Jumaat lalu, dan satu daripadanya mengenai kawasan perumahan di utara Gaza.
Roket ketiga pula dilancarkan ke Israel pagi Sabtu lalu, namun tiada sebarang siren amaran diaktifkan.
Serangan balas itu susulan roket yang dilancarkan Rabu dan Khamis lalu, selepas pertempuran di Al-Aqsa sehingga menyebabkan seorang mangsa mengalami kecederaan parah dan lebih 200 yang lain cedera.
Israel membalas dengan serangan udara, namun dilihat enggan meneruskan siri keganasan selanjutnya kerana bertindak balas dengan sekatan ekonomi.-AFP