RIYADH: Selaras dengan Wawasan Kerajaan 2030, Direktorat Jeneral Perkhidmatan Orang Kurang Upaya (OKU) Masjid Nabawi meneruskan usaha memberi khidmat kepada golongan cacat pendengaran di kawasan masjid pada bulan Ramadan.
Lapor Arab News, sebuah bilik khas disediakan untuk memberi khidmat kepada golongan OKU di masjid berkenaan yang boleh memuatkan kira-kira 100 orang.
Kakitangan yang terlatih dalam bahasa isyarat akan mentafsir khutbah Jumaat dan ceramah kepada jemaah yang mengalami cacat pendengaran.
Seorang penterjemah bahasa isyarat di Masjid Nabawi, Dr. Khalid Sulaiman Al-Thukair berkata, Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci adalah individu pertama yang menterjemah khutbah Jumaat kepada sekumpulan orang pekak di bilik khusus yang ditempatkan di atas bumbung Masjid Nabawi.
“Hampir 20 juta jemaah pekak dari seluruh dunia dapat memahami isi kandungan khutbah yang disampaikan,” katanya.
Dr. Khalid berkata, kejayaan terbesar yang dicapai oleh penterjemah adalah apabila melihat kesan terhadap golongan pekak.
“Penterjemah berjaya menyampaikan 70 ke 90 peratus isi kandungan khutbah kepada jemaah pekak yang hadir menunaikan solat Jumaat.
“Penterjmah akan menganalisis maklumat dan memudahkan golongan pekak memahami setiap saat.
“Cabarannya adalah bahasa Arab mempunyai 12 juta perkataan, sedangkan bahasa isyarat tidak melebihi 20,000 perkataan,” katanya.